Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 26 OKTOBER 2026 : Pahang berpotensi muncul sebagai hab eksport strategik apabila jaringan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa menjelang 2029.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, kemudahan pengangkutan bersepadu itu bakal memberikan kelebihan kepada syarikat yang beroperasi di negeri ini untuk memperluas pasaran eksport masing-masing.
“Menjelang 2029, akan ada land bridge atau jambatan darat yang menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pelabuhan Kuantan.
“Apabila jambatan darat ini diwujudkan, syarikat yang mendirikan kilang di Gebeng atau di mana-mana kawasan di Pahang berpotensi mengeksport produk ke seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Hari Eksport Pahang 2026 di Hotel Grand DarulMakmur, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Pelabuhan Kuantan berpotensi menjadi laluan utama bagi pengeksport yang ingin menghantar produk ke pasaran Asia Timur dan Asia Utara, manakala Pelabuhan Klang boleh dimanfaatkan bagi penghantaran ke pasaran lain termasuk Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika.
“Jika mahu mengeksport ke Asia Timur dan Asia Utara seperti Korea, China, Jepun, Vietnam dan Taiwan, kita boleh menggunakan laluan Laut China Selatan menerusi Pelabuhan Kuantan.
“Sebaliknya, bagi penghantaran barangan ke Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika, pengeksport boleh menggunakan ECRL untuk membawa barangan dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Beliau berkata, ECRL turut dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor logistik negeri, dengan sasaran komposisi perkhidmatan sebanyak 70 peratus pengangkutan kargo dan 30 peratus penumpang.
“ECRL ini, saya difahamkan, menyasarkan 70 peratus perkhidmatannya untuk pengangkutan kargo atau penghantaran barangan, manakala 30 peratus lagi untuk penumpang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan tanah seluas sehingga 700 hektar di Gebeng bagi pembangunan Taman Industri Halal yang berpotensi menarik pelaburan dalam pelbagai sektor berkaitan industri halal.
Menurut beliau, kawasan berkenaan terletak tidak jauh dari Pelabuhan Kuantan, sekali gus memberikan kelebihan dari segi akses logistik kepada pelabur yang berminat.

“Tanah itu masih belum dibangunkan dan memerlukan penyediaan infrastruktur bagi menjadikannya lebih menarik kepada pelabur berpotensi.
“Kita sedang memohon pertimbangan kerajaan untuk menyediakan dana bagi pembangunan infrastruktur, selain mencari pelabur yang berminat membangunkan taman industri berkenaan,” katanya.
Hari Eksport Pahang 2026 yang dianjurkan buat kali kedua merupakan kesinambungan usaha memperkasa usahawan tempatan serta melahirkan lebih ramai pengeksport berdaya saing di peringkat global.
Program itu turut memberi peluang kepada peserta mempelajari pengalaman dan amalan terbaik daripada pengeksport berjaya sebagai panduan untuk mengembangkan perniagaan serta menembusi pasaran antarabangsa.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, YBhg. Dato’ Indera Abu Bakar Yusof serta ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

