Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 OKTOBER 2026 : Karnival Usahawan Pahang 1st menjadi platform bagi membantu usahawan tempatan mempromosikan produk, memperluas jaringan perniagaan serta membina hubungan strategik bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Penasihat Khas kepada Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK) berkata, penganjuran karnival itu bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung mengenali pelbagai produk tempatan, malah membuka ruang kepada bakal usahawan mendapatkan panduan untuk memulakan perniagaan.

“Program ini menjadi platform untuk orang ramai mengenali pelbagai produk yang mungkin belum pernah mereka lihat sebelum ini. Malah, mereka yang baru berhasrat memulakan perniagaan juga boleh mendapatkan panduan dan bertanya mengenai langkah-langkah yang perlu diambil.
“Justeru, program seperti ini akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri Pahang kerana sambutan yang diterima amat baik, dengan kehadiran pengunjung yang sangat menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Aspirasi Pahang 1st di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Menurut beliau, program seumpama itu turut memberi peluang kepada masyarakat meluangkan masa bersama keluarga sambil mendapatkan maklumat mengenai pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Mengulas mengenai pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), beliau berkata kemudahan perhubungan yang lebih baik dijangka merancakkan sektor pelancongan negeri, sekali gus memudahkan pergerakan pengunjung ke Pahang.
Katanya, perkembangan itu perlu dimanfaatkan dengan memperkukuh penawaran produk tempatan, tarikan pelancongan serta kemudahan yang dapat memenuhi keperluan pengunjung.

“Apabila datang ke Pahang, pengunjung akan mendapati negeri ini mempunyai pelbagai keistimewaan, termasuk pulau yang cantik, makanan yang enak dan kemudahan untuk pelbagai keperluan.
“Mereka juga mempunyai banyak pilihan, sama ada menikmati cuaca sejuk di Cameron Highlands, meneroka kawasan pergunungan seperti Gunung Tahan atau mengunjungi hutan simpan. Semuanya ada di Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan positif negeri turut dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah pelancong dari tahun ke tahun, selain kadar pengangguran yang semakin berkurangan serta kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pahang yang berada dalam kelompok empat tertinggi di Malaysia. -PAHANGMEDIA

