Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 25 OKTOBER 2026 : Golongan belia di Pahang digesa menyertai pertubuhan belia sedia ada atau menubuhkan persatuan di kawasan masing-masing bagi memperkukuh kemahiran kepimpinan serta meluaskan jaringan hubungan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, penglibatan dalam pertubuhan belia memberikan pelbagai manfaat menerusi aktiviti berkaitan kepimpinan, sukan, keusahawanan, akademik dan kesukarelawanan.
Katanya, penyertaan itu turut membuka peluang kepada golongan muda untuk membina rangkaian persahabatan serta menimba pengalaman menerusi program di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Melalui penglibatan dalam gerakan belia, mereka dapat membina jaringan hubungan dan persahabatan dengan ramai orang dari seluruh negeri Pahang.
“Pelbagai aktiviti dianjurkan merangkumi aspek kepimpinan, sukan, keusahawanan, akademik dan yang paling penting, bidang yang bersesuaian dengan minat mereka.
“Justeru, saya menggalakkan golongan muda bukan sahaja menubuhkan persatuan belia di kawasan masing-masing, malah turut aktif dalam gerakan belia kerana pelbagai aktiviti dan program yang dilaksanakan mampu memberikan nilai tambah kepada pembangunan diri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Pahang 2026 di Hotel Grand DarulMakmur, di sini, ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Tambahnya, penglibatan dalam pertubuhan belia juga memudahkan kerajaan negeri menyalurkan peruntukan bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan golongan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan lebih RM4 juta pada tahun ini bagi pelaksanaan program belia menerusi Majlis Belia Negeri Pahang dan Jabatan Belia dan Sukan.
Sehubungan itu, beliau berharap agar lebih ramai anak muda mengambil peluang menyertai gerakan belia bagi meningkatkan potensi diri, mengasah kemahiran kepimpinan serta mempersiapkan diri sebagai pelapis kepimpinan negeri pada masa hadapan. -PAHANGMEDIA

