Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 24 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sedang meneliti kaedah terbaik bagi menangani isu perkhidmatan pengangkutan feri ke Pulau Tioman, termasuk kemungkinan mengendalikan sendiri perkhidmatan berkenaan atau melantik syarikat lain sebagai operator.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) telah diminta melantik perunding bagi menjalankan kajian terperinci untuk memastikan setiap cadangan yang dikemukakan dapat dilaksanakan tanpa menimbulkan masalah kepada Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Negeri sendiri tiada kepakaran untuk membuat bot dan sebagainya kerana itu bukan bidang kita. Sebab itu kita minta pandangan daripada pihak penasihat mengenai perkara yang perlu disediakan. Kita tunggu ulasan atau keputusan daripada pihak perunding,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Daerah Rompin Sempena Memuliakan Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-67 di Pantai Hiburan, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kelewatan perkhidmatan bot, beliau berkata, hasil perbincangan bersama pelbagai pihak dan agensi berkaitan mendapati terdapat kelemahan dalam pengurusan syarikat operator sedia ada.
“Sudah ada aduan daripada pengguna yang terpaksa menunggu sehingga lapan jam, malah ada yang terlepas penerbangan dan bas akibat kelewatan berkenaan.
“Sehubungan itu, kita telah meminta pihak operator memperkemas pengurusan, khususnya dari segi penjadualan perjalanan,” katanya.
Menurutnya, operator juga perlu memaklumkan kepada penumpang dengan segera sekiranya berlaku kerosakan bot bagi mengelakkan mereka terpaksa menunggu terlalu lama tanpa sebarang maklumat.
“Sekiranya berlaku kerosakan bot, operator perlu menghubungi semua pembeli tiket untuk memaklumkan mengenai kelewatan. Seperti perkhidmatan kapal terbang, makluman boleh dibuat melalui WhatsApp atau e-mel supaya pengurusan lebih teratur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kenaikan tambang bot turut dipengaruhi peningkatan kos operasi, terutama harga bahan api yang semakin meningkat.
Menurutnya, sebuah bot memerlukan kira-kira 1,500 liter minyak bagi perjalanan dua hala ke Pulau Tioman.
“Dahulu, harga minyak bersubsidi hanya sekitar RM2 lebih seliter, tetapi kini meningkat kepada RM4 lebih, manakala subsidi yang diterima hanya RM0.50. Keadaan ini menyebabkan kos operasi sukar ditampung.
“Operator sebenarnya berdepan kerugian dan ada yang mempertimbangkan untuk menutup operasi. Jadi, antara langkah yang diambil ialah menaikkan tambang. Jika operasi ditutup, keadaan akan menjadi lebih sukar,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kos mendapatkan bot baharu juga tinggi, dengan sebuah bot yang mampu membawa lebih 280 penumpang dianggarkan berharga kira-kira RM12 juta.
Selain itu, pembinaan bot baharu memerlukan tempoh tempahan bertahun-tahun sebelum dapat disiapkan, sekali gus menyukarkan usaha menambah kapasiti dalam masa singkat.
“Feri bukan seperti membeli kereta yang boleh diperoleh dengan segera. Bot perlu ditempah dan mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan kerana tiada stok sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus meneliti pilihan yang bersesuaian bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan laut ke Pulau Tioman dapat ditambah baik demi kepentingan penduduk setempat dan kelangsungan sektor pelancongan negeri. -PAHANGMEDIA

