Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 24 OKTOBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengkaji penyediaan perkhidmatan feri ke Pulau Tioman bagi memudahkan pergerakan pelancong dan penduduk setempat.
Paduka Baginda bertitah, cadangan itu bertujuan memastikan kemudahan pengangkutan laut berkenaan dapat disediakan secara berhemah demi kepentingan masyarakat serta pengusaha perniagaan di kawasan berkenaan.
“Saya tadi nyatakan kepada YAB Menteri Besar (Pahang) supaya kaji kalau boleh adakan feri yang boleh membawa pelancong-pelancong dan juga masyarakat ke Pulau Tioman, Kampung Pulau Sri Buat ini secara berhemah.
“Mungkin kerajaan terpaksa mengeluarkan sumbangan yang besar tetapi ini adalah untuk memberi servis kepada mereka-mereka yang mempunyai bisnes di Pulau Tioman dan sekitar daerah ini,” titah Paduka Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Sambutan Jubli Emas Daerah Rompin sempena Memuliakan Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-67 di Pantai Hiburan, di sini, hari ini.
Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kerajaan tidak seharusnya hanya menumpukan kepada aspek keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu mengutamakan penyediaan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat.
“Kadangkala sebagai kerajaan, dia tidak boleh memikir tentang profit semata-mata atau keuntungan semata-mata, tetapi adalah memberi servis yang terbaik untuk masyarakat kita,” titah Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Daerah Rompin terus mencapai kejayaan, dikurniakan keberkatan serta dijauhkan daripada segala bencana dan malapetaka.
Baginda turut berharap agar rakyat di daerah itu sentiasa hidup dalam suasana harmoni, taat kepada Allah SWT, setia kepada raja serta terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak pentadbiran. -PAHANGMEDIA

