KUANTAN, 24 OKTOBER 2026 : Kerajaan Pahang terus mempergiat usaha menarik pelaburan berkualiti ke negeri ini menerusi penyertaan dalam program Invest Malaysia Day anjuran Malaysian Investment Development Authority (MIDA) Singapura dengan kerjasama CIMB dan Singapore Business Federation.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk mengetengahkan kekuatan, keunikan dan potensi pelaburan negeri kepada syarikat serta pemain industri dari Singapura.

Beliau berkata, penyertaan tersebut turut membuka ruang kepada kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dengan pelabur antarabangsa dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi Pahang.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Minat yang ditunjukkan oleh para pelabur, khususnya terhadap peluang mengembangkan perkhidmatan dan teknologi mereka di Pahang, merupakan perkembangan positif dalam usaha kita menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke negeri ini,” katanya.

Program berkenaan turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datin Paduka Anizan Siti Hajjar binti Adnin, serta wakil portfolio pelaburan dari tiga negeri, iaitu Pahang, Selangor dan Johor.
Dato’ Mohamad Nizar berkata, Pahang bersedia menjadi rakan strategik kepada pelabur dengan menawarkan pelbagai peluang dan potensi serta persekitaran yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan pembangunan ekonomi yang mampan.
Usaha berkenaan selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh keyakinan pelabur, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dan memastikan kemasukan pelaburan berkualiti terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat Pahang. -PAHANGMEDIA

