Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 23 OKTOBER 2026 : Bantuan RM200 menerusi Program Inisiatif Makmur (IM) Pahang Kluster B40: Petani dan Nelayan 2026 memberi kelegaan kepada golongan petani dan nelayan di daerah ini, khususnya dalam membantu menampung kos mengusahakan sumber pendapatan mereka.
Bagi nelayan dari Kuala Krau, Muhammad Jefri Din, 40, bantuan itu dapat dimanfaatkan untuk menampung kos minyak bot yang semakin membebankan, lebih-lebih lagi berikutan peningkatan harga barangan keperluan.

“Alhamdulillah, bantuan ini boleh tambah-tambah duit minyak bot. Lagipun sekarang barang semua dah mahal, jadi sedikit sebanyak dapat membantu,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Simpang Peragap, di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM250 menerusi bantuan nelayan yang sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan berkaitan pekerjaannya.
Sementara itu, penerima daripada kluster petani, Rohana Yahya, 54, berkata sumbangan berkenaan dapat digunakan untuk membeli baja serta menampung kos penjagaan tanaman buah-buahan yang diusahakannya di Paya Keladan.

Katanya, tanaman seperti kelapa, jambu madu dan belimbing memerlukan penjagaan berterusan, manakala risiko banjir turut menjejaskan tanaman dan meningkatkan kos pemulihan kebun.
“Alhamdulillah, terima kasih atas sumbangan ini. Boleh membantu sedikit sebanyak, termasuk untuk membeli baja dan menguruskan kebun,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM200 kepada setiap penerima dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM120,000 bagi daerah Temerloh.

Katanya, bantuan itu bertujuan meringankan beban golongan petani dan nelayan, selain mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap usaha mereka meneruskan kegiatan pertanian dan perikanan di peringkat kampung.
“Kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif mengikut kluster bagi memastikan pelbagai golongan masyarakat mendapat perhatian, termasuk petani, nelayan, agamawan dan golongan dalam bidang pendidikan.
“Melalui pendekatan ini, kita mahu rakyat merasai kebersamaan kerajaan dalam membantu mereka. Walaupun sumbangan ini tidak dapat menampung semua keperluan, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban dan menyokong usaha mereka mencari rezeki,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut mencerminkan usaha kerajaan negeri mendekati rakyat serta memastikan bantuan disalurkan secara bersasar kepada golongan yang memerlukan.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya menghargai kestabilan dan kemakmuran negeri kerana kedua-dua aspek itu penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur serta penyampaian bantuan kebajikan dapat diteruskan.-PAHANGMEDIA

