Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang meningkatkan peruntukan Anugerah Kampung Pahang 1st kepada RM300,000 pada tahun depan bagi menggalakkan pembangunan kampung yang lebih progresif, dinamik dan berdaya saing.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan peruntukan itu dibuat susulan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran anugerah berkenaan yang diperkenalkan buat julung kali tahun ini.

Menurutnya, anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan kepada kampung terbaik, malah menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk terus berusaha meningkatkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Dengan adanya Anugerah Kampung Pahang 1st ini, kita ingin melahirkan masyarakat yang berusaha, progresif dan dinamik supaya sentiasa memikirkan bagaimana untuk memajukan kampung mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand DarulMakmur, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut bercadang memperkenalkan Anugerah Kampung Bahagia sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta merangsang pembangunan kampung secara menyeluruh.
“Di Pahang kita ada 1,933 kampung. Sekarang kita ada Bandar Bahagia, jadi tahun depan dengan penambahan peruntukan, kurang-kurangnya kita dapat mengenal pasti kampung bahagia.
“Memang saya nampak agak rumit untuk memilih tetapi ini boleh dilakukan dengan mengambil kira kriteria-kriteria tertentu oleh PLANMalaysia Pahang. Itu perancangan kita,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Kampung Merapoh di Lipis dinobatkan sebagai Kampung Tradisi paling cemerlang di negeri ini, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta sijil.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kampung yang berjaya, selain menggesa kampung-kampung lain supaya terus berusaha meningkatkan pencapaian masing-masing.
Turut hadir, YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, YAA Dato’ Haji Abdul Walid Haji Abu Hassan; dan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pahang (PLANMalaysia Pahang), YBrs. TPr Nik Noraisu Nik Ibrahim. -PAHANGMEDIA

