Oleh: Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 22 OKTOBER 2026 : Pahang Orang Asli Corporation Sdn. Bhd. (ORACO) menafikan dakwaan bahawa syarikat itu diberikan kuasa oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk mengeluarkan hasil, mentadbir, mengawal atau mengurus tanah yang terlibat dalam isu pencerobohan di sekitar daerah Bera.
Dalam satu kenyataan media yang di keluarkan hari ini, ORACO menegaskan bahawa dakwaan berkenaan tidak benar dan memandang serius penyebaran kenyataan palsu, berunsur fitnah serta tidak berasas yang mengaitkan syarikat itu dengan isu berkenaan.
Menurut ORACO, penyebaran dakwaan sedemikian berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, selain menjejaskan reputasi dan nama baik syarikat.
Sehubungan itu, ORACO memberi amaran akan mengambil tindakan tegas melalui saluran undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati membuat atau menyebarkan dakwaan palsu atau berunsur fitnah berhubung perkara tersebut.
Tindakan itu termasuk memulakan prosiding mahkamah bagi menuntut ganti rugi serta mendapatkan remedi lain yang bersesuaian mengikut peruntukan undang-undang.
ORACO turut menyeru semua pihak supaya bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan, selain memastikan kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya kepada umum.
Masyarakat juga diingatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan dakwaan yang tidak berasas sehingga boleh mencetuskan salah faham dan menjejaskan kepentingan mana-mana pihak. -PAHANGMEDIA

