Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 22 OKTOBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Seminar Hukum Kanun di Alam Melayu yang bertemakan “Tradisi Perundangan, Kedaulatan dan Transformasi Masyarakat”, hari ini.
Paduka Baginda berangkat tiba di Kutubkhanah Diraja, Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah pada pukul 9 pagi.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran buku Fiqh al-Watan: Tatacara Kehidupan Bertanah Air Rakyat Negeri Pahang terbitan Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM).
Buku tersebut mengetengahkan konsep Fiqh al-Watan sebagai panduan tatacara kehidupan yang berteraskan hubungan antara rakyat, negeri, agama dan institusi pemerintahan, selaras dengan usaha memperkukuh kefahaman terhadap warisan perundangan serta nilai kehidupan bermasyarakat di Pahang.
Buku berkenaan turut diserahkan kepada wakil Kerajaan Negeri Pahang sebagai simbolik penerimaan hasil penulisan yang mengangkat tradisi perundangan dan pemikiran Islam dalam konteks kehidupan bertanah air.
Seminar itu menghimpunkan ahli akademik dan pakar dalam bidang sejarah, perundangan serta ketamadunan Melayu-Islam bagi membincangkan perkembangan hukum kanun dan tradisi perundangan di Alam Melayu, termasuk pengaruhnya terhadap sistem perundangan moden.
Antara tajuk pembentangan yang diketengahkan ialah “Hukum Kanun sebagai Teks Kuasa: Membaca Semula Warisan Perundangan Melayu dari Kaca Mata Pascakolonial”; “Fiqh al-Watan: Raja, Kedaulatan dan Undang-Undang Tubuh: Kesinambungan Tradisi Perlembagaan Watan di Negeri-Negeri Melayu”; serta “Hukum, Adat dan Institusi Kehakiman Pahang: Kesinambungan Tradisi Melayu-Islam daripada Hukum Kanun kepada Era Moden”.
Turut dibentangkan ialah tajuk “Hukum Perdagangan dan Pelayaran Amanagappa, Makassar”; “Undang-Undang Laut Melaka: Tradisi Keintelektualan Melayu dan Perbandingan Perundangan Kelautan Era Baru”; serta “Undang-Undang 99 Perak: Raja, Pembesar, Hukum dan Transformasi Tatanan Masyarakat dalam Era Residen”.
Selesai seminar, Paduka Baginda turut berkenan berangkat melawat Pameran Khas Sempena Ulang Tahun ke-50 Muzium Negeri Pahang (1976–2026) yang bertemakan “Sejarah dan Tamadun Perundangan Alam Melayu: Tradisi Hukum, Kedaulatan dan Transformasi Perundangan”. -PAHANGMEDIA

