Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 OKTOBER 2026 : Muzium Pahang perlu terus diperkasa sebagai pusat pemeliharaan sejarah dan warisan negeri, sekali gus meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap asal usul serta identiti mereka.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bertitah, muzium perlu berperanan sebagai muzium hidup yang mampu menarik minat masyarakat untuk mengenali dan menghayati sejarah serta warisan negeri.
Baginda bertitah, usaha akan terus dilaksanakan bagi menjadikan muzium-muzium di Pahang sebagai institusi yang disegani, berwibawa dan dekat dengan masyarakat.
“Sejarah membentuk siapa kita pada hari ini. Oleh itu, generasi muda perlu mengetahui dan mempelajari sejarah kerana ia penting dalam membentuk identiti diri serta memahami asal usul mereka. Saya berharap muzium akan menjadi tempat rujukan utama berkaitan sejarah dan warisan di seluruh Negeri Pahang,” titah baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar galeri diraja dapat diwujudkan di setiap daerah di Pahang bagi mempamerkan pelbagai hadiah yang dipersembahkan oleh rakyat sepanjang lawatan baginda ke daerah berkenaan.
Selain itu, baginda turut mencadangkan supaya sebuah galeri diwujudkan di bangunan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bagi menempatkan bahan berkaitan institusi diraja serta sejarah kepimpinan negeri, termasuk tokoh-tokoh yang pernah menerajui pentadbiran Pahang.
Baginda berharap agar usaha memperkukuh peranan muzium dan mewujudkan galeri berkenaan mendapat kerjasama semua pihak bagi memastikan sejarah serta warisan negeri terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang bertitah demikian pada Majlis Jamuan Diraja dan Pelancaran Buku Daulat Tuanku sempena Sambutan 50 Tahun Muzium Pahang di Museum of Contemporary Art (MOCA), di sini.
Berkenan berangkat tiba pada majlis berkenaan ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; dan Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib. -PAHANGMEDIA

