Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 OKTOBER 2026 : Tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi perjalanan antara Gombak dan KotaSAS akan bermula daripada RM60 bagi kelas ekonomi.
Permulaan operasi komersial yang dijadualkan pada pertengahan Disember ini turut menetapkan RM60 bagi tambang Transit pada laluan sama dan RM68 bagi perkhidmatan Ekspres.
Bagi laluan Gombak-Kota Bharu sepanjang 523 kilometer, tambang perkhidmatan Transit ditetapkan bermula RM125, manakala perkhidmatan Ekspres bermula RM147.
Sementara itu, tambang Transit bagi perjalanan dari Gombak ke Kuala Terengganu bermula RM95, manakala bagi perkhidmatan Ekspres pula, tambang bagi laluan sama bermula RM110.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam kenyataan memaklumkan kerajaan meluluskan cadangan struktur tambang berkenaan pada 16 Oktober lalu berdasarkan mekanisme penetapan harga dinamik.
Penetapan struktur tambang itu merupakan antara persediaan menjelang operasi komersial ECRL yang dijangka menjadi pilihan pengangkutan alternatif bagi perjalanan antara Pantai Timur dan Lembah Klang. -PAHANGMEDIA

