Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER 2026: Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh usaha menarik pelaburan dengan mengutamakan pelaksanaan berbanding kata-kata, selain mempermudah urusan pelabur bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat direalisasikan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendekatan berorientasikan tindakan dan hasil itu menjadi antara strategi utama Kerajaan Negeri untuk memastikan Pahang kekal berdaya saing serta terus menjadi pilihan pelabur.

Menurut beliau, pencapaian pelaburan yang direkodkan negeri ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta merealisasikan agenda pembangunan yang dirancang.
“Kita tidak banyak bercakap, sebaliknya lebih banyak bekerja. Kita bercakap apabila perlu dan memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan.
“Strategi kita adalah memudahkan urusan pelabur,” katanya ketika ditemui pada Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendekatan yang perlu terus diperkukuh bagi memastikan Pahang kekal sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan mampu menarik lebih banyak pelaburan pada masa hadapan.
Menurutnya, usaha mempermudah urusan pelabur perlu dilaksanakan secara berterusan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, di samping memastikan segala peraturan dan ketetapan yang berkuat kuasa terus dipatuhi.
Turut hadir, YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah.
Tambah beliau, kerjasama semua pihak serta komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan amat penting bagi memastikan agenda pembangunan dan ekonomi negeri terus berjalan lancar, sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat Pahang. -PAHANGMEDIA

