Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER 2026 : Pahang mencatatkan pelaburan komited bernilai RM421 juta menerusi 12 pertukaran dokumen sempena Selangor International Business Summit (SIBS) 2026, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, SIBS merupakan platform strategik untuk mempromosikan peluang pelaburan di Pahang, khususnya kepada syarikat yang berhasrat mengembangkan operasi dan meneroka peluang perniagaan baharu.

Menurutnya, perkembangan itu turut mencerminkan potensi ekonomi Pahang yang berada dalam kelompok empat terbaik negara dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain peningkatan nilai pelaburan dan pertumbuhan sektor pelancongan.
“Hari ini kita menyaksikan sebanyak 12 komitmen pelaburan yang melibatkan RM421 juta. Ini satu perkembangan yang sangat baik. Saya menjangkakan, insya-Allah, apabila projek kereta api laju kita siap nanti, ia akan mempercepatkan dan menarik lebih banyak syarikat untuk melabur di Pahang.
“Ini bagi memastikan kita mempunyai rangkaian pengangkutan yang mesra pelabur. Selain pengangkutan darat menerusi kereta api laju, Pahang Aerocity juga akan melengkapkan kemudahan pengangkutan udara negeri untuk jangka masa panjang, yang dijangka siap dalam tempoh 10 tahun akan datang, malah mungkin lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada SIBS 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, di sini, hari ini.
Turut hadir, YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pendekatan Pahang Barat Plus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah bagi memastikan tiada kawasan atau kelompok rakyat yang terpinggir daripada arus pertumbuhan ekonomi.
“Kita tubuhkan Pahang Barat Plus kerana kita tidak mahu rakyat Pahang yang berjumlah 1.67 juta orang berasa terpinggir atau mengalami perkembangan ekonomi yang tidak seimbang.
“Kalau boleh, kita mahu pembangunan yang lebih seimbang antara Pahang Barat, Pahang Timur dan Pahang Tengah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara strategi utama Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak pelaburan adalah dengan mempermudah urusan pelabur dan mengurangkan birokrasi tanpa mengabaikan aspek pematuhan serta peraturan yang ditetapkan.
Katanya, Kerajaan Negeri turut mengambil pendekatan proaktif dengan menyertai platform seperti SIBS bagi memperkenalkan potensi Pahang secara langsung kepada pelabur, selain membuka ruang komunikasi dua hala untuk mendapatkan maklum balas dan menjelaskan peluang yang tersedia.
“Kita permudahkan urusan dan kurangkan birokrasi tanpa berkompromi dengan peraturan. Kita bukan hanya menunggu, tetapi turut mencari peluang, seperti penyertaan kita pada SIBS yang tidak pernah kita lepaskan.
“Kehadiran kita di sini memberi pendedahan kepada pelabur kerana mungkin ada yang belum mengetahui potensi Pahang. Apabila kita membuka reruai, ia menjadi platform komunikasi dua hala untuk mereka bertanya dan mendapatkan maklumat secara langsung.
“Kita ada Invest Pahang. Maksudnya, bukan sekadar bercakap, tetapi kita laksanakan. Saya selalu tekankan bahawa kita perlu mengurangkan birokrasi kerana pelabur mempunyai pilihan dan mereka akan memilih destinasi yang menawarkan kemudahan serta urusan yang lebih baik,” katanya.
Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri komited memastikan usaha menarik pelaburan diterjemahkan kepada hasil nyata yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada rakyat Pahang. -PAHANGMEDIA

