Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER 2026 : Invest Pahang terus mempergiat usaha mempromosikan peluang pelaburan strategik di negeri ini menerusi penyertaan dalam Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 bagi menarik lebih ramai pelabur berpotensi ke Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, penyertaan yang memasuki tahun keempat penyertaan Pahang di SIBS menjadi platform untuk memperkenalkan potensi ekonomi negeri serta membuka ruang pelaburan masuk.

“Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk promosikan peluang-peluang pelaburan yang ada di negeri Pahang. Sebagai contoh, kompleks perbangunan Pahang Aerospace City Development, kompleks perbangunan lapangan terbang yang baru di mana bukan saja ada lapangan terbang tapi ada peluang pelaburan untuk data center, pembangunan industri dron, pembangunan industri angkasa, industri MRO (Penyelenggaraan, Pembaikan, dan Baik Pulih) dan lain-lain.
“Kita juga promosikan pembangunan transit oriented development maksudnya pelan-pelan pembangunan untuk membangunkan bangunan komersial, industri dan lain-lain pembangunan di sekitar stesen ECRL yang berada dalam negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan berorientasikan transit berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, memandangkan ECRL bakal menghubungkan Pahang dengan rangkaian pengangkutan rel dari Pantai Barat hingga ke Pantai Timur.

“Umum mengetahui kita ada tujuh stesen ECRL dalam negeri Pahang antaranya Gambang, KotaSAS, Cherating, Bentong, Temerloh, Maran, di mana stesen-stesen ini mempunyai peluang pembangunan di sekitar stesen tersebut yang menjadi stesen yang menghubung Pahang ke jajaran ECRL.
“Yang boleh pergi sejauh Pelabuhan Klang hinggalah ke Kota Baru di Pantai Timur, dan kita berharap melalui pameran Selangor International Business Summit ini, kita dapat bertemu dengan lebih ramai lagi pelabur-pelabur berpotensi yang berminat untuk melabur ke dalam negeri Pahang, mendirikan kilang ataupun mendirikan perniagaan untuk menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negeri Pahang, menjadikan banyak pekerjaan dan juga meningkatkan angka KDNK supaya Pahang dapat menjana ekonomi RM100 billion menjelang 2030,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pelabur berpotensi yang menunjukkan minat terhadap sektor perlombongan emas, tenaga boleh baharu khususnya solar, serta pembangunan kompleks lapangan terbang baharu.
Bagaimanapun, katanya, proses membawa masuk pelaburan memerlukan masa kerana peringkat awal penyertaan lebih tertumpu kepada memperkenalkan peluang yang tersedia dan mengenal pasti minat pelabur sebelum perbincangan lanjut dilaksanakan.
Tambah beliau, majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU) melibatkan syarikat yang merancang pelaburan di Pahang dijadual berlangsung esok dan akan dihadiri oleh YAB Menteri Besar Pahang.
Majlis berkenaan dijangka menjadi antara perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka peluang pelaburan baharu yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. -PAHANGMEDIA

