Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 OKTOBER 2026 : Program Industrial Mind Pahang @ Paya Besar menjadi platform memberi pendedahan awal kepada anak muda mengenai dunia industri, peluang kerjaya serta kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi perubahan pasaran pekerjaan pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, program seumpama itu penting dalam membuka pandangan generasi muda mengenai dunia yang bakal mereka tempuhi selepas menamatkan pengajian.

“Kalau kita mahu anak-anak kita bersedia menghadapi masa depan, kita tidak boleh hanya menyediakan mereka dengan ilmu di dalam bilik darjah.
“Kita mesti memberikan mereka pengalaman, pendedahan dan kefahaman tentang dunia sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Industrial Mind Pahang @ Paya Besar selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Paya Besar, Gambang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan Ahli Parlimen Paya Besar merangkap Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah.
Tambah beliau, menerusi pendedahan secara langsung kepada industri, peserta berpeluang melihat sendiri penggunaan teknologi, memahami persekitaran pekerjaan serta berinteraksi dengan pemain industri bagi mengetahui kemahiran yang diperlukan.
“Datang ke kilang. Lihat teknologinya. Lihat cara kerja. Bercakap dengan orang industri. Dan tanya mereka apa kemahiran yang diperlukan.
“Daripada situ, barulah anak-anak kita boleh mula menyusun perjalanan mereka sendiri.
“Mungkin hari ini mereka belum tahu mahu menjadi apa. Tapi, tidak mengapa. Yang penting, mereka sudah mula mengetahui apa yang ada di luar sana dan apa yang perlu mereka persiapkan,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menyatakan Program Industrial Mind mempunyai hubungan rapat dengan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30) dalam usaha menyediakan bakat tempatan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan ekonomi negeri.
“PET30 menentukan ke mana ekonomi Pahang mahu dibawa. Industrial Mind pula membantu kita menyediakan anak-anak muda yang akan mengisi ekonomi tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap pengalaman yang diperoleh menerusi program berkenaan menjadi titik permulaan kepada peserta untuk melihat kerjaya daripada perspektif lebih luas dan memberi tumpuan terhadap penguasaan kemahiran.-PAHANGMEDIA

