Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 SEPTEMBER 2026 : Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd disifatkan sebagai contoh projek pelaburan berimpak tinggi yang bukan sahaja memperkukuh sektor pembuatan negeri, malah menyediakan peluang pekerjaan kepada ratusan anak tempatan khususnya rakyat Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, syarikat berkenaan yang bertapak di Pahang sejak 1996 kini menggaji lebih 600 pekerja dengan kira-kira 95 peratus daripadanya terdiri daripada pekerja tempatan.
Menurutnya, kehadiran Kaneka yang beroperasi di kawasan seluas kira-kira 100 ekar turut memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negeri menerusi sektor pembuatan.

“Bagi saya, saya amat bersyukur dan bangga dengan tapak Kaneka di sini sejak 1996. Saya rasa Kaneka ini merupakan satu contoh baik projek berimpak tinggi yang telah menyumbang kepada peluang pekerjaan yang banyak untuk anak tempatan, khususnya anak Pahang.
“Mereka memberi pekerjaan kepada lebih 600 orang pekerja dan 95 peratus daripada jumlah tersebut adalah pekerja tempatan, orang Malaysia dan orang Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam satu sidang media selepas selesai Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd yang disempurnakan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Beliau juga berkata, sumbangan sektor pembuatan juga amat penting kepada ekonomi Pahang apabila sektor berkenaan menyumbang kira-kira 22 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.
“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai ekonomi negeri Pahang dari segi KDNK adalah kira-kira RM21 bilion pada tahun lalu dan daripada jumlah itu, kira-kira 22 peratus merupakan sumbangan sektor pembuatan.
“Saya yakin dan percaya Kaneka adalah antara penyumbang besar dalam angka tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Pahang melalui Invest Pahang akan terus memberi tumpuan untuk menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi seperti Kaneka.

Tambahnya, kepakaran Kaneka dalam menghasilkan bahan dan polimer berprestasi tinggi yang mempunyai pelbagai aplikasi dalam industri termasuk aeroangkasa, automotif dan pembinaan membuktikan nilai strategik pelaburan berteknologi tinggi kepada negeri.
“Produk mereka mempunyai pelbagai aplikasi dan boleh digunakan dalam pelbagai industri. Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai potensi untuk menarik lebih banyak pemain industri berteknologi tinggi ke negeri ini,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, pengalaman Kaneka yang mampu bertapak selama tiga dekad di Pahang turut memperlihatkan keyakinan pelabur Jepun terhadap persekitaran pelaburan dan industri di negeri itu.
“Kita lihat pemain industri dari Jepun ini, sekali mereka bertapak, mereka akan berada di sini untuk jangka masa yang panjang. Kita doakan Kaneka bukan sahaja dapat bertahan 30 tahun, malah mungkin 50 tahun dan 100 tahun lagi,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

