TEMERLOH, 28 SEPTEMBER 2026 : Pertumbuhan ekonomi Pahang yang semakin berkembang perlu diterjemahkan kepada manfaat lebih nyata kepada rakyat, khususnya dalam aspek peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan perkembangan perniagaan tempatan.
Timbalan Menteri Ekonomi, YB. Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah berkata, meskipun prestasi ekonomi negeri menunjukkan perkembangan positif, persoalan lebih penting ialah sejauh mana pertumbuhan berkenaan memberi kesan secara langsung terhadap kehidupan rakyat.
Katanya, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pahang meningkat daripada RM55.4 bilion pada 2021 kepada RM71 bilion tahun lalu, manakala jumlah penduduk bekerja di negeri itu pada tahun ini mencecah 751,500 orang.

“Namun, perkembangan angka ekonomi tersebut turut menimbulkan persoalan lebih besar mengenai sejauh mana pertumbuhan berkenaan memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya pada Program Borak Negeri: Poket Kita, Masa Depan Pahang Zon Tengah yang berlangsung di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, di sini, semalam.
Program berkenaan menghimpunkan wakil Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Bank Negara Malaysia, Malaysia Rail Link (MRL) serta pemimpin setempat bagi membincangkan perkembangan dan potensi ekonomi di Zon Tengah Pahang.
Zon berkenaan meliputi Temerloh, Kuala Krau dan Jerantut yang dilihat mempunyai potensi untuk berkembang seiring pembangunan infrastruktur dan ekonomi wilayah, khususnya menerusi pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Antara perkara yang dibincangkan termasuk peranan ECRL dalam merancakkan aktiviti ekonomi setempat selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan dan pelaburan kepada penduduk.

Penglibatan pelbagai pihak dalam program berkenaan turut memberi ruang kepada rakyat mengemukakan pandangan, persoalan dan cadangan berkaitan pembangunan ekonomi serta keperluan masyarakat setempat kepada kerajaan.
Perbincangan turut memberi penekanan terhadap kepentingan memastikan pertumbuhan ekonomi tidak hanya diukur berdasarkan peningkatan KDNK, sebaliknya diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti dan perkembangan perusahaan tempatan.
Bagi Zon Tengah Pahang, pembangunan ECRL dan perancangan pembangunan wilayah dijangka menjadi antara pemangkin kepada pembentukan landskap ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada Temerloh, Kuala Krau dan Jerantut.
Sehubungan itu, fokus utama program berkenaan bukan sekadar melihat sejauh mana ekonomi Pahang berkembang, tetapi bagaimana pertumbuhan tersebut dapat diterjemahkan kepada lebih banyak peluang dan manfaat kepada rakyat, khususnya dari segi peningkatan pendapatan serta masa depan ekonomi negeri.-PAHANGMEDIA

