Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2026 : Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah 2026 bukan sekadar gelanggang merebut kejuaraan, sebaliknya menjadi medan mencungkil bakat baharu yang mampu mengangkat semula nama Pahang dalam arena bola sepak negara.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyertaan 105 pasukan dalam edisi sulung kejohanan itu membuktikan sambutan rakyat terhadap aktiviti sukan, khususnya bola sepak, cukup menggalakkan.
Menurutnya, bakat yang dikenal pasti menerusi liga ini juga boleh diketengahkan untuk mewakili negeri melangkah lebih jauh ke peringkat kebangsaan.
“Dengan adanya Liga Rakyat (Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah 2026) ini, kita boleh mencungkil bakat-bakat baharu untuk negeri kita yang boleh kita tunjukkan, ketengahkan di peringkat negeri dan juga negara.

“Dan kita harap Pahang, insya-Allah dalam masa terdekat akan kembali cemerlang di dalam bola sepak arena negara” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutupan Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah 2026 di Stadium Darul Makmur yang menyaksikan YPM FC muncul juara daripada 105 pasukan yang mengambil bahagian.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada YPM FC dan semua pasukan yang bertanding, dan menyifatkan penyertaan kesemua mereka sebagai elemen penting dalam memastikan kejohanan berkenaan terus mendapat tempat dalam kalangan rakyat.
“Yang penting ialah kita mengambil bahagian. Insya-Allah, Liga Rakyat ini kita akan adakan lagi pada masa akan datang. Tahun depan kita harap lebih ramai yang akan mengambil bahagian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Liga Rakyat akan terus ditambah baik pada siri berikutnya dengan memperkenalkan kategori baharu termasuk pertandingan membabitkan pemain bawah umur.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan lebih ramai pemain muda diberi peluang untuk menyerlah dan dibentuk sejak di peringkat akar umbi.
“Hari ini kita buat bawah 19 tahun. Nanti kita khususkan lagi. Yang penting, kita akan buat tidak sama seperti tahun ini. Mesti ada tambah baik lagi. Saya selalu berpesan, kita jangan terperangkap dengan status quo. Kita kena buat lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.
Katanya, kejayaan penganjuran kali ini menjadi petanda positif terhadap usaha memperkasa aktiviti sukan dan mencungkil potensi anak muda di Pahang. -PAHANGMEDIA

