Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Tourism Pahang
ROMPIN, 14 SEPTEMBER 2026 : Penganjuran Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) bukan sekadar menjadi medan pertandingan pemancing antarabangsa, malah berperanan sebagai platform penting dalam memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan yang terdapat di Rompin kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, kehadiran peserta dari pelbagai negara ke Kuala Rompin memberi peluang kepada mereka mengenali dengan lebih dekat keunikan dan tarikan pelancongan yang terdapat di daerah berkenaan.
“Kerajaan negeri Pahang melihat penganjuran acara ini daripada perspektif yang lebih luas. Ini adalah satu platform untuk memperkenalkan destinasi dan produk pelancongan, di samping mewujudkan serta mengeratkan hubungan persahabatan antara pemancing dari dalam dan luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup RPBIC 2026 di Villea Rompin Golf & Resort, Kuala Rompin, di sini.
Tambahnya, Rompin mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menawarkan pelbagai produk pelancongan berasaskan alam semula jadi termasuk pulau, taman negeri, pantai dan perairan yang mampu memberikan pengalaman unik kepada pengunjung.

“Kalau kita mempromosikan pelancongan Malaysia kepada pelancong di luar negara, selalunya kita guna slogan ‘Malaysia Truly Asia’. Di Pahang pula, kita berasa bangga kerana dikurniakan pelbagai khazanah alam sehingga kita selalu mengatakan ‘Pahang Truly Malaysia’.
“Dalam negeri Pahang juga kita ada 11 daerah. Bila sampai Rompin, ada yang mengatakan ‘Rompin Truly Pahang’ kerana di sini kita ada pulau, iaitu Pulau Tioman, taman negeri, perairan dan pantai,” katanya.
Menurutnya, kepelbagaian berkenaan menjadikan Rompin bukan sahaja mempunyai tarikan kepada pemancing, malah berpotensi menjadi destinasi pilihan pelancong yang ingin menikmati pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Katanya lagi, keunikan perairan Kuala Rompin yang terkenal dengan ikan layaran pula menjadi antara kekuatan utama RPBIC, khususnya ketika musim penghijrahan ikan layaran dan marlin dari Mac hingga September.

“Jadi, dengan ini, kita berharap tuan-tuan dan puan-puan boleh kembali semula ke Rompin untuk menikmati produk-produk pelancongan yang ada di sini,” katanya.
RPBIC yang mula dianjurkan pada 2004 kini memasuki edisi ke-22 menghimpunkan 72 peserta daripada 18 pasukan yang mewakili sembilan negara iaitu Itali, Jepun, China, Singapura, Australia, United Kingdom, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Malaysia selaku tuan rumah, dengan keseluruhan hadiah bernilai RM76,000.
Lebih menarik, RPBIC 2026 turut memperkenalkan acara baharu, Kayak Fishing Challenge @ Sungai Puteri yang mendapat 30 penyertaan dari seluruh negara, sekali gus memperluas tarikan aktiviti pelancongan berasaskan rekreasi dan sukan di daerah berkenaan.
Pasukan Lemax Pro Team dari Malaysia muncul juara RPBIC 2026 dan membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta medal serta peralatan memancing, manakala acara Kayak Fishing Challenge @ Sungai Puteri dimenangi Encik Mohd Afizul Othemam yang menerima hadiah wang tunai RM2,500 serta peralatan memancing. -PAHANGMEDIA

