BENTONG, 13 SEPTEMBER 2026: Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) Pahang merekodkan prestasi memberangsangkan pada 2025 apabila jumlah aset meningkat kepada RM11.3 bilion, dengan hasil sebanyak RM2.7 bilion dan keuntungan bersih RM525 juta.
Lebih membanggakan, S-GLC turut menyumbang lebih RM153 juta kepada Kerajaan Negeri, manakala jumlah sumbangan bagi tempoh 2019 hingga 2025 mencecah RM709 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu membuktikan peranan penting S-GLC dalam memperkukuh kedudukan ekonomi negeri, namun kejayaan berkenaan tidak seharusnya diukur berdasarkan angka keuntungan semata-mata.
Sebaliknya, beliau mahu kekuatan aset dan prestasi S-GLC diterjemahkan kepada lebih banyak pelaburan berkualiti, peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi serta manfaat yang lebih besar kepada rakyat Pahang.

“Namun, kejayaan S-GLC tidak seharusnya hanya diukur melalui angka keuntungan.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana aset dan kekuatan yang dimiliki dapat diterjemahkan kepada pelaburan, peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi serta manfaat yang lebih besar kepada rakyat Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2026 di Genting Highlands hari ini yang menghimpunkan lebih 300 Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, pengurusan kanan S-GLC serta Ketua Jabatan Kerajaan Negeri.
Persidangan yang membawa tema “Pahang 1st: Memacu Pertumbuhan, Memperkasa Masa Hadapan” itu menjadi platform penting bagi memperkukuh hala tuju dan peranan S-GLC dalam mendukung agenda pembangunan ekonomi negeri.
Menurut beliau, Pahang kini mempunyai sembilan syarikat induk S-GLC dan 48 anak syarikat, dengan prestasi yang terus menunjukkan perkembangan positif.
Katanya, kedudukan tersebut perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan memastikan setiap S-GLC terus meningkatkan keupayaan, memperkukuh tadbir urus serta meneroka ruang pertumbuhan baharu yang mampu memberikan pulangan lebih besar kepada negeri.
“Saya juga mahu S-GLC terus berani meneroka peluang baharu, meningkatkan daya saing dan memainkan peranan yang lebih aktif dalam menarik serta merealisasikan pelaburan berkualiti ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, S-GLC tidak boleh hanya berperanan sebagai entiti perniagaan yang mengejar keuntungan, sebaliknya perlu menjadi antara instrumen strategik Kerajaan Negeri dalam merancakkan pembangunan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.
Justeru, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan pengurusan S-GLC supaya terus memperkukuh kerjasama, meningkatkan kecekapan serta mempunyai keberanian untuk membuat keputusan yang mampu membawa manfaat jangka panjang kepada Pahang.
“Insya-Allah, dengan kesungguhan, keberanian dan kesepaduan semua pihak, S-GLC akan terus menjadi antara kekuatan utama dalam membina Pahang yang lebih makmur, berdaya saing dan sentiasa ke hadapan,” katanya. – PAHANGMEDIA

