Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 09 SEPTEMBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat ke Jamuan Diraja sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia Tahun 2026 yang berlangsung di Zenith Hotel Cameron Highlands, malam semalam.
Turut mengiringi keberangkatan Paduka Baginda ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Keberangkatan tiba pada jam 8.30 malam itu disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Yang di-Pertua Dewan Negara, YB Senator Dato’ Awang Bemee bin Awang Ali Basah; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul; YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin; barisan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Jamuan Diraja berkenaan diadakan bersempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia Tahun 2026 yang berlangsung dari 6 hingga 9 September di Pahang, menghimpunkan pimpinan institusi legislatif dari seluruh negara dalam wadah perkongsian pengalaman dan pandangan berkaitan pengurusan serta perjalanan institusi perundangan.

Persidangan berkenaan turut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan dan jaringan kerjasama antara institusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, selain memperkasa peranan institusi legislatif dalam mendukung amalan demokrasi serta tadbir urus yang berkesan.
Dalam titah pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut mengucapkan selamat datang kepada seluruh delegasi persidangan dan menzahirkan penghargaan atas kehadiran mereka ke negeri Pahang.
Paduka Baginda turut berkenan mengalu-alukan para delegasi untuk kembali berkunjung ke Cameron Highlands yang bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan cuaca nyaman, malah menjadi antara destinasi pelancongan pilihan khususnya untuk kunjungan bersama keluarga.
Baginda turut berkongsi mengenai keunikan serta keindahan Cameron Highlands, sekali gus memperlihatkan keistimewaan daerah tanah tinggi itu sebagai khazanah pelancongan yang wajar terus diterokai dan dihargai.
Majlis itu berlangsung dalam suasana mesra, mencerminkan hubungan erat antara institusi diraja, kerajaan negeri serta kepimpinan legislatif dari seluruh Malaysia yang berkumpul di Pahang sempena persidangan berkenaan. -PAHANGMEDIA

