Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 09 SEPTEMBER 2026 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dianugerahkan sebagai Tokoh Penerangan UMNO Malaysia dalam Majlis Penerangan UMNO Malaysia 2026 di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Anugerah berkenaan disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranan beliau dalam menyampaikan perjuangan serta dasar parti kepada rakyat.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam kenyataannya menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk beliau terus menyumbang, berkongsi pandangan serta memastikan mesej berkaitan perjuangan dan dasar parti dapat disampaikan kepada rakyat dengan sebaik-baiknya.
“Alhamdulillah, Tok Wan berasa amat bertuah dan bersyukur kerana menerima Anugerah Tokoh Penerangan UMNO Malaysia.
“Penghargaan ini merupakan amanah dan tanggungjawab untuk Tok Wan terus menyumbang, berkongsi pandangan serta menyampaikan perjuangan dan dasar parti kepada rakyat dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam majlis sama, turut dilancarkan Artificial Intelligence Rakyat Assistance (AIRA), satu inisiatif yang dibangunkan menerusi kerjasama Sekolah Patriotik UMNO Malaysia.
Beliau berkata, AIRA memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai pendekatan baharu bagi membantu memberikan penjelasan dan klarifikasi berkaitan pelbagai isu.
Tambahnya, penggunaan teknologi itu penting dalam memastikan maklumat yang tepat dan mudah difahami dapat disampaikan kepada rakyat, selain berupaya memperkukuh usaha penerangan kepada generasi baharu.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk Tok Wan terus berkhidmat, manakala usaha memperkukuh penerangan melalui teknologi seperti AIRA pula dapat mendekatkan perjuangan UMNO dengan rakyat, khususnya generasi baharu,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO dan Penerangan UMNO Malaysia serta mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah lain. -PAHANGMEDIA

