Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
ROMPIN, 05 SEPTEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang melancarkan aplikasi Beli-Beli yang merupakan platform baharu memperluas pasaran produk usahawan menerusi ekosistem digital.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aplikasi berkenaan mewujudkan sinergi dalam kalangan pengguna dan peniaga, selain selari dengan perkembangan teknologi yang semakin memudahkan urusan pembelian.
Beliau turut menyifatkan aplikasi tersebut sebagai satu pendekatan baharu yang wajar diberi perhatian oleh usahawan Pahang bagi mengembangkan perniagaan mereka dalam landskap ekonomi digital.

“Beli-Beli ni adalah satu aplikasi yang baru yang mana ia merupakan satu platform untuk marketplace dan affiliate yang membolehkan pengguna mendapatkan produk dan tawaran. Jadi mereka boleh berkongsi produk.
“Affiliate ni mananya dia bergabung. Beli-Beli ni dia bergabung antara satu sama lain. Mereka boleh berkongsi maklumat, berkongsi produk, dan dia ada sinergi.
“Saya harap semua usahawan mengambil tahu dan menggunakan aplikasi ini. Saya sangat yakin ia menguntungkan dan kena ikuti kerana perubahan teknologi dan sebagainya. Kalau dulu kalau kita nak beli barang, kita kena pergi ke kedai. Sekarang ni contohnya melalui handphone saja kita boleh beli barang-barang. Itu adalah kemajuan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Aspirasi Pahang 1st Peringkat Daerah Rompin dan Rompin Fest di Pantai Hiburan.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Beliau turut menyifatkan festival berkenaan berjaya mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat, selain menjadi ruang usahawan mempromosikan produk serta mendapatkan maklumat secara terus.

“Selain daripada kita mengadakan Karnival Aspirasi (Pahang 1st), pertama-tama kita ada Rompin Fest yang telah berlangsung lebih kurang 3 dekad yang lalu diteruskan. Saya dapati masyarakat di daerah Rompin memberi sambutan yang sangat baik dan harus kita pertingkatkan, kita pelihara dan ini semua boleh kita laksanakan kerana adanya kestabilan politik dan kedudukan kewangan negeri Pahang yang dikira stabil.
“Yang penting ialah mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat di Rompin dan mereka boleh dapat maklumat secara terus dan boleh berkongsi maklumat, two-way communication. Dan mereka boleh mendapat banyak ilmu daripada festival kita pada malam ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

