Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 01 SEPTEMBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada YB. Tuan Ahmad Sazilee Abdul Khairi sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang yang baharu.
Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan Ikrar Taat Setia oleh YB. Tuan Ahmad Sazilee pada Majlis Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan yang berlangsung di Istana Abdulaziz, di sini hari ini.
Tuan Ahmad Sazilee dilantik menggantikan YH Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi yang bersara selepas menabur khidmat dalam perkhidmatan awam.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelantikan YB Tuan Ahmad Sazilee merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar dalam memastikan urusan perundangan serta pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang terus dilaksanakan dengan penuh integriti, berlandaskan undang-undang dan menjunjung prinsip keadilan.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya yakin pengalaman, kewibawaan dan kepakaran yang dimiliki YB Tuan Ahmad Sazilee dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan urusan perundangan serta pentadbiran negeri berjalan lancar.
“Saya mengucapkan selamat datang dan selamat menjalankan amanah serta tanggungjawab di negeri Pahang kepada Tuan Ahmad Sazilee.
“Semoga beliau dapat memberikan khidmat terbaik demi kepentingan negeri dan rakyat, selain memperkukuh tadbir urus serta kelancaran pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.
Dalam pada itu, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam kenyataannya sebelum ini turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YH Dato’ Muhammad Saifuddin atas segala khidmat bakti, komitmen serta sumbangan sepanjang menjalankan amanah sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.
“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas segala khidmat bakti, komitmen serta sumbangan yang telah dicurahkan kepada negeri dan rakyat Pahang sepanjang beliau menjalankan amanah tersebut,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

