KUANTAN, 1 SEPTEMBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan supaya mempergiatkan usaha pencegahan banjir lebih awal, khususnya ketika negeri ini kini memasuki bulan September.
Paduka Baginda bertitah, kerja-kerja pembersihan dan pendalaman parit serta longkang, terutama di kawasan yang sering dilanda banjir, perlu diberi perhatian segera.
Paduka Baginda turut bertitah agar pihak berkaitan dapat memastikan projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan secara berperingkat berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Paduka bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menitahkan supaya Kerajaan Negeri dan agensi terlibat terus memantau serta mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah secara haram di seluruh Pahang dengan lebih berkesan, tegas dan bijaksana berlandaskan undang-undang.
Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana perkembangan kes-kes mahkamah berkaitan pencerobohan tanah haram dilihat memihak kepada Kerajaan Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

