Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 30 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bakal memperkenalkan skim pembiayaan pembelian motosikal tanpa faedah khusus kepada golongan muda di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu merupakan antara bentuk galakan kerajaan negeri bagi membantu anak-anak Pahang yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya dari aspek kemudahan pengangkutan.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan mengumumkan skim pembiayaan untuk membeli motosikal kepada mereka yang berumur antara 18 hingga 22 tahun tanpa interest (faedah).

“Ini satu galakan kepada anak-anak kita yang belajar di IPT untuk membantu mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; dan Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata, perincian skim berkenaan akan dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2027 yang dijangka dibentangkan pada hujung tahun ini.

Menurut beliau, pengenalan skim tersebut turut menjadi antara usaha kerajaan negeri untuk terus menyokong kebajikan dan keperluan anak-anak muda Pahang dalam meneruskan pendidikan.
Beliau sebelum itu menyampaikan anugerah penghargaan daripada Kerajaan Negeri Pahang kepada 2,326 pelajar cemerlang SPM, STPM, dan STAM melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.426 juta.
Beliau berkata, inisiatif ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk menghargai pencapaian akademik pelajar selain menjadi galakan kepada mereka untuk terus melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada anak-anak yang berjaya, termasuk ibu bapa dan para pendidik yang sentiasa memberikan sokongan kepada mereka.
“Kerajaan negeri melihat anak-anak ini sebagai aset penting kepada negeri dan kita berharap dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, mereka mampu mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang seperti kedoktoran, perakaunan, keusahawanan dan sebagainya,” katanya. -PAHANGMEDIA

