Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 30 OGOS 2026: Seramai 69 atlet Pahang bakal menggalas cabaran negeri pada Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Selangor 2026 dengan sasaran membawa pulang 15 pingat emas, meskipun hanya 10 acara dipertandingkan pada edisi kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, sasaran berkenaan dianggap tinggi berikutan jumlah acara yang dipertandingkan kali ini lebih rendah berbanding 15 acara pada Para SUKMA Sarawak dua tahun lalu.
“Sebenarnya sasaran ini tinggi kerana kali ini hanya 10 acara dipertandingkan berbanding 15 acara pada Para SUKMA Sarawak dua tahun lalu.
“Walau bagaimanapun, kita akan terus berusaha sehabis baik untuk mencapai sasaran 15 pingat emas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan kit kontinjen Negeri Pahang kepada atlet Para SUKMA Pahang, di sini.
Tambah beliau, atlet-atlet Para Pahang kini sedang menjalani latihan pusat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang sebagai persiapan menghadapi Para SUKMA Selangor.
“Sekarang kita mengadakan latihan pusat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang. Dalam pertemuan ini, saya turut menzahirkan hasrat negeri agar mereka berusaha bersungguh-sungguh membawa obor perjuangan Pahang pada Para SUKMA Selangor nanti.
“Saya melihat atlet-atlet Para menunjukkan semangat dan komitmen yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap semua atlet dapat memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.
“Saya harap kontinjen ini dapat melakukan yang terbaik kerana persiapan rapi telah dilaksanakan oleh Majlis Sukan Pahang daripada pelbagai sudut bagi memastikan mereka bersedia untuk bertarung di Selangor nanti,” katanya. -PAHANGMEDIA

