RAUB, 30 OGOS 2026 : Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menyita tiga buah lori treler dan menahan tiga pemandu dalam operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti pemindahan bahan mineral yang disyaki bijih besi di kawasan Sungai Batu, Mukim Batu Talam, di sini, semalam.
Operasi pada 29 Ogos itu melibatkan 23 anggota UPNP daripada Zon Pahang Barat, Zon Pahang Tengah, Sektor Penyelidikan dan Remote Sensing serta Sektor Tugas Khas, susulan rondaan pemantauan dan risikan terhadap aktiviti pemindahan bahan mineral di kawasan berkenaan.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, hasil risikan termasuk pemantauan menggunakan dron berjaya mengesan tiga lori treler yang disyaki membawa bahan mineral keluar dari kawasan perlombongan.
“Ketiga-tiga lori berkenaan kemudiannya ditahan untuk pemeriksaan dan hasil semakan mendapati pemandu mengemukakan Borang 13D dan Delivery Order (DO) daripada kelulusan kawasan lain bagi tujuan pengangkutan bahan mineral.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lokasi stokpile bahan mineral yang ditunjukkan oleh pemandu berada di luar kawasan perlombongan yang dibenarkan seperti dinyatakan dalam dokumen yang dikemukakan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pihak penguat kuasa turut mendapati lokasi stokpile berkenaan berada di kawasan yang mempunyai Lesen Pendudukan Sementara (LPS), manakala ketiga-tiga pemandu gagal mengemukakan dokumen atau kelulusan yang sah berkaitan lokasi tersebut.
“Susulan itu, pihak penguat kuasa telah menahan tiga orang pemandu lori untuk membantu siasatan serta menyita tiga buah lori treler yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pemindahan bahan mineral tersebut.
“Selain itu, tiga keping Borang 13D turut dirampas dan dua sampel bahan mineral yang disyaki bijih besi diambil bagi tujuan penyiasatan dan pendakwaan,” katanya.
Tindakan sitaan dan tangkapan dibuat di bawah Seksyen 137 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, manakala kesalahan berkaitan maklumat serta kemungkiran terma atau syarat sedang disiasat di bawah Seksyen 159 dan Seksyen 165 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.
Katanya, ketiga-tiga individu yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.
“Ketiga-tiga kenderaan yang disita pula telah dibawa ke Tapak Sitaan UPNP Zon Pahang Tengah di Temerloh.
“Dalam pada itu, saya telah mengarahkan supaya kertas siasatan dibuka dan siasatan menyeluruh dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap syarat dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Tegas beliau, Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan sumber mineral tanpa mematuhi undang-undang, syarat lesen, permit dan kelulusan yang ditetapkan.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa, termasuk melalui penggunaan teknologi pemantauan dan risikan, bagi memastikan hasil bumi negeri diurus secara teratur, bertanggungjawab dan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.-PAHANGMEDIA

