Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 27 OGOS 2026 : Jenazah Almarhumah Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Dato’ Sri Setia Hajjah Aishah Binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selamat dimakamkan di Makam Diraja Pahang, di sini, hari ini.
Istiadat pemakaman Almarhumah disempurnakan penuh penghormatan dan istiadat Diraja dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta
Hadir sama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Amat Mulia kerabat-kerabat bergelar dan Yang Mulia kerabat-kerabat.
Almarhumah yang mangkat pada 9.15 malam tadi di sebuah hospital di Kuala Lumpur, sebelum itu dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Khalid bin Al-Walid, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, pagi tadi sebelum dibawa ke Pangkalan Udara TUDM Subang untuk diterbangkan ke Pangkalan Udara TUDM Kuantan.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Sultan Ahmad 1, Pekan, untuk penghormatan terakhir dan disolatkan sekali lagi sebelum istiadat pemakaman dilaksanakan.

Jenazah kemudian dibawa ke Makam Diraja dengan didahului penganjur, perbaraan, lapan payung putih dan lapan payung kuning serta 16 Jejawat Tubuh.
Istiadat pemakaman disusuli bacaan Yasin yang diketuai Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, diikuti tahlil dan doa selamat.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang kemudian menyiram air mawar serta menabur bunga di makam Almarhumah, diikuti Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang serta kerabat-kerabat bergelar dan Yang Mulia kerabat-kerabat yang lain.
Almarhumah yang mangkat pada usia 69 tahun merupakan kekanda kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang. -PAHANGMEDIA

