Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 OGOS 2026 : Kerja-kerja pembersihan longkang dan pemotongan rumput di kawasan Indera Mahkota 3, Indera Mahkota 14 dan perindustrian Semambu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan persekitaran kawasan berkenaan sentiasa bersih, teratur dan selesa.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan di kawasan tersebut dilaksanakan mengikut skop dan kekerapan yang ditetapkan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
“Skop kerja dan kekerapan yang dipertanggungjawabkan kepada pihak SW Corp melalui konsesi yang dilantik iaitu Alam Flora Sdn. Bhd. adalah satu kali sebulan bagi kerja pencucian longkang dan dua kali sebulan bagi kerja pemotongan rumput di kawasan perindustrian Semambu, Indera Mahkota 3 dan Indera Mahkota 14 mengikut Akta 672 yang diguna pakai di negeri Pahang.
“Frekuensi pembersihan (kawasan Indera Mahkota 3 dan Indera Mahkota 14) longkang adalah sebanyak satu kali sebulan, manakala kerja pemotongan rumput dilaksanakan sebanyak dua kali sebulan.
“Pembersihan longkang (kawasan perindustrian Semambu) dilaksanakan dengan kekerapan sebanyak tiga kali setahun, manakala kerja pemotongan rumput dilaksanakan sebanyak 12 kali setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Tuan Chan Chun Kuang, pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambahnya, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sentiasa memantau keadaan semasa serta mempertimbangkan penambahan kekerapan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut keperluan.
“Bagi meningkatkan tahap kebersihan dan keselesaan kawasan tersebut, MBK sentiasa memantau keadaan semasa dan akan mempertimbangkan penambahan kekerapan kerja-kerja.
“Antaranya, pembersihan longkang dan parit; pemotongan rumput di kawasan lapang dan rezab jalan dan kerja-kerja penyelenggaraan persekitaran lain yang berada di bawah bidang kuasa MBK.
“Pelaksanaan kerja-kerja tersebut bertujuan memastikan persekitaran Kawasan perindustrian sentiasa bersih, teratur dan kondusif serta membantu mengurangkan risiko longkang tersumbat yang boleh menyumbang kepada kejadian banjir kilat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerja penyelenggaraan jalan di kawasan Indera Mahkota 3 dan Indera Mahkota 14 dilaksanakan di bawah tanggungjawab MBK melalui SMR Selenggara (Pahang) Sdn. Bhd., atau melalui pelawaan sebut harga terbuka kepada kontraktor yang berkelayakan dan berlesen.
“Bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan di kedua-dua kawasan tersebut, pelaksanaannya adalah di bawah tanggungjawab MBK melalui pengeluaran arahan kerja kepada syarikat konsesi yang dilantik, iaitu SMR Selenggara (Pahang) Sdn. Bhd., atau melalui pelawaan sebut harga terbuka kepada kontraktor yang berkelayakan dan berlesen.
“Skop kerja penyelenggaraan meliputi kerja-kerja landskap, pemangkasan pokok, penyelenggaraan dan pembaikan pothole, serta kerja-kerja lain yang berkaitan di bawah peruntukan penyelenggaraan jalan MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia),” katanya. -PAHANGMEDIA

