KUANTAN, 27 OGOS 2026 : Kepentingan rakyat menjadi asas kepada sokongan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, beliau menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan ADUN Kuala Sentul, YB Dato’ Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, YB Tuan Mohd Yazid Mohd Yunus dalam memastikan pembangunan serta kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan kepada saya. Ini menunjukkan bahawa kita memang bekerja untuk rakyat Pahang. Politik ini kita letak perkara yang nombor dua, nombor tiga, nombor empat. Yang penting rakyat Pahang,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Kedua Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat dan mengalu-alukan sekiranya lebih ramai wakil rakyat mahu memberikan sokongan kepada pentadbiran negeri.
“Kalau boleh ada ramai lagi nak sokong, lagi bagus. Kita mengalu-alukan,” katanya.
Sementara itu, YB Dato’ Jasri berkata, sokongan berkenaan dibuat secara ikhlas dan kedua-dua ADUN tersebut komited bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyokong dasar serta program yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
“Kita sudah declare sokongan kepada Menteri Besar Pahang. Kita komited bekerjasama dalam menyokong dasar-dasar dan program-program kerajaan negeri,” katanya.
Menurut Jasri, kerjasama itu terutama bagi memastikan pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat di DUN Kuala Sentul dan Lepar terus diberi perhatian. -PAHANGMEDIA

