Oleh : Zeti Akhtar Lokman
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 OGOS 2026 : Kerajaan Pahang terus komited meningkatkan sosioekonomi nelayan tradisional dengan peruntukan RM900,000 pada tahun 2026 bagi membina dan melabuhkan tukun tiruan di beberapa lokasi strategik perairan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, inisiatif tersebut merupakan kesinambungan kejayaan program terdahulu yang terbukti meningkatkan hasil tangkapan ikan dan sotong.
Menurut beliau, bagi tahun 2026, sebanyak RM600,000 daripada Kerajaan Persekutuan diperuntukkan bagi melabuhkan tukun tiruan jenis juvenil penghalang pukat tunda di Pulau Sri Buat, Rompin sebagai tukun konservasi yang telah selesai dilabuhkan pada 16 Ogos lalu.
Manakala, peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) sebanyak RM300,000 pula diperuntukkan bagi pembinaan tukun di perairan Pantai Kempadang, Kuantan yang dijadualkan pelaksanaannya pada penghujung Oktober ini.
“Bagi tahun 2025, Jabatan Perikanan Negeri Pahang telah berjaya melabuhkan tukun tiruan di tiga kawasan iaitu Pulau Sri Buat dan Pulau Sembilang di daerah Rompin serta Pulau Berhala di daerah Pekan dengan kos keseluruhan RM800,000,” kata beliau ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB Dato’ Haji Andansura bin Rabu pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Mengulas berkenaan cadangan melabuhkan tukun di kawasan perairan Pantai Beserah dan Balok, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi menjelaskan bahawa kawasan berkenaan masih berada dalam julat latitud Had Pelabuhan Kuantan (port limit).
“Pantai Balok dan Pantai Beserah berada dalam julat had pelabuhan, dan sekiranya tukun dilabuhkan, ia perlu berada di luar kawasan terbabit bagi mengelakkan laluan keluar masuk kapal pelayaran serta menjamin keselamatan nelayan tradisional,” katanya.
Beliau menambah, pemilihan tapak tukun memerlukan kajian saintifik terperinci oleh pihak Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) dengan mengambil kira faktor jenis sedimen dasar laut, kedalaman air pasang surut, laluan kabel, dan kedudukan laluan utama perkapalan.
Tambahan pula, cadangan Jabatan Perikanan adalah melabuhkan tukun di kawasan berhampiran sekitar Kuantan supaya nelayan dari Balok dan Beserah tetap boleh meraih manfaat menangkap hasil laut di kawasan perairan tersebut. -PAHANGMEDIA

