Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang dijangka akan menerima 53 unit Ambulans Type B pada tahun 2027 bagi memperkukuh perkhidmatan ambulans di fasiliti kesihatan primer, khususnya di luar bandar.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, perolehan ambulans baharu itu sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui tender perolehan berpusat.
“Kementerian Kesihatan Malaysia sedang melaksanakan proses perolehan ambulans baharu melalui tender perolehan berpusat dan Negeri Pahang dijangka akan menerima 53 unit Ambulans Type B.
“Agihan ambulans baharu ini dijangka dapat dilaksanakan pada tahun 2027, tertakluk kepada kelulusan, pemuktamadan proses perolehan serta jadual penghantaran oleh pembekal yang dilantik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 55 unit ambulans yang sedang beroperasi di seluruh Negeri Pahang.
“Pada masa ini terdapat sebanyak 55 unit ambulans yang berada dalam keadaan baik dan sedang beroperasi di 94 buah Klinik Kesihatan di seluruh Negeri Pahang.
“Manakala bagi Dun Tahan, satu unit ambulans telah ditempatkan di Klinik Kesihatan Kuala Tahan bagi perkhidmatan kecemasan di kawasan liputan operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB. Tuan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA

