Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 OGOS 2026 : MyFuture Policy Lab Edisi Pertama Peringkat Sekolah-Sekolah Parlimen Paya Besar Sesi 2026 menjadi platform baharu dalam usaha memperkukuh kefahaman generasi muda terhadap dasar awam, tadbir urus dan pembangunan negara.
Menurut satu kenyataan media Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Paya Besar, inisiatif Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah itu memberi pendedahan secara langsung kepada pemimpin pelajar sekolah menengah dari Parlimen Paya Besar mengenai proses pembentukan, pelaksanaan dan penilaian dasar awam.
“Berteraskan empat tonggak T.H.I.S (Teknologi, Kemanusiaan, Inovasi dan Kemampanan), program ini menggabungkan pembelajaran akademik, perbincangan isu semasa, kajian kes serta simulasi institusi dasar. Program berlangsung di The EAST Paya Besar, yang berperanan sebagai pusat komuniti dan pusat ilmu masyarakat Paya Besar.
“Kurikulum MyFuture Policy Lab turut diselaraskan dengan kerangka pembangunan utama negara dan antarabangsa, termasuk Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), ASEAN Community Vision 2045 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Pendekatan ini membolehkan peserta memahami isu pembangunan daripada perspektif tempatan, nasional, serantau dan global.
“Antara pengisian utama ialah sesi “Apakah Itu Dasar?” bersama YBrs. Prof. Madya Dr. Hairani Abd Rahman, Pensyarah Kanan (Polisi), Universiti Malaya, selain perbincangan kajian kes berkaitan isu belia seperti kesihatan mental, buli siber, kelestarian alam serta literasi kewangan dan digital,” ujar kenyataan berkenaan.
YB Dato’ Sri Mohd Shahar berkata, MyFuture Policy Lab dalam jangka panjang disasarkan berkembang sebagai inkubator dasar belia bagi melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi, berpandangan global namun tetap berakar pada realiti masyarakat setempat.

“Kita mahu anak-anak Paya Besar bukan sekadar menjadi pengguna dasar, tetapi memahami bagaimana dasar dibentuk, diperdebatkan dan dilaksanakan.
“Lebih penting, kita mahu mereka mempunyai keberanian untuk membawa idea dan penyelesaian kepada masalah masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, menerusi inisiatif itu, peserta bukan sahaja didedahkan kepada ilmu dasar awam, malah berpeluang membangunkan kertas dasar berasaskan data, membina jaringan dengan pelbagai institusi serta mengasah kemahiran analisis, komunikasi dan kepimpinan sejak usia muda.
MyFuture Policy Lab seterusnya diharap menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan belia yang menghubungkan pendidikan, kepimpinan dan dasar awam, sekali gus mempersiapkan generasi baharu sebagai pemikir, pembuat keputusan dan pemimpin yang mampu menyumbang kepada Paya Besar, Pahang, Malaysia dan ASEAN.
Di dalam program berkenaan, peserta turut didedahkan kepada agenda pembangunan negeri menerusi sesi Pahang 1st: Dasar dan ECRL dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang (BPEN) dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.(MRL), termasuk aspek perancangan ekonomi Pahang, pembangunan ECRL serta potensi transformasi ekonomi dan mobiliti di Pantai Timur.
Selain itu, program tersebut turut menampilkan Simulasi Ahli Parlimen Muda AIPA (Young Parliamentarians of AIPA, YPA) dengan kerjasama Sekretariat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), yang memberi peluang kepada peserta memahami proses perbahasan, rundingan dan pembentukan resolusi melalui simulasi institusi Parlimen ASEAN.
Dalam simulasi tersebut, peserta mewakili kesemua 10 negara anggota ASEAN sebelum mencapai resolusi bersama bertemakan Memperkasa penyertaan belia luar bandar dalam inisiatif pengantarabangsaan dan perhubungan global bagi memupuk Komuniti ASEAN yang inklusif dan terhubung. -PAHANGMEDIA

