Oleh : Syafiqah Jamaluddin
SELANGOR, 21 OGOS 2026 : Anggapan atlet e-sukan hanya menghabiskan masa bermain permainan video sepanjang hari perlu diubah kerana disiplin, kecergasan, rehat dan pemakanan turut menjadi antara aspek penting yang diberi penekanan skuad e-sukan Pahang.
Pengurus E-sukan Pahang, Mohd Izhar Adnan berkata, persediaan atlet bukan sekadar tertumpu kepada latihan permainan, sebaliknya turut merangkumi rutin fizikal dan penjagaan pemakanan bagi memastikan mereka mampu beraksi pada tahap terbaik.
Menurutnya, permainan berasaskan strategi seperti Mobile Legends dan Honor of Kings (HOK) memerlukan tahap pemikiran yang tinggi, justeru kecergasan fizikal dan tidur mencukupi penting untuk memastikan fokus atlet tidak terjejas.
“Kalau nak jadi atlet e-sukan, bukan kena main game 24 jam. Ada jadual yang betul.
“Pagi mereka kena bangun awal, buat aktiviti riadah dan malam pula perlu tidur secukupnya, bukan latihan sampai lewat malam,” katanya.
Beliau berkata, aspek pemakanan turut dipantau dengan teliti, khususnya sebelum perlawanan bagi mengelakkan atlet mengambil makanan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk.

“Kita sudah ingatkan jurulatih, kalau ada perlawanan pukul 9 pagi, jangan beri nasi lemak atau nasi goreng kerana ia boleh menyebabkan mereka cepat mengantuk.
“Kita sediakan buah, telur rebus dan sebagainya untuk persiapan mereka,” katanya.
Mengulas persepsi sesetengah ibu bapa yang menganggap permainan video hanya membuang masa, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada bagaimana aktiviti berkenaan dikawal dan dididik.
Menurutnya, dengan bimbingan persatuan serta kelab e-sukan, golongan muda boleh didedahkan kepada rutin yang lebih teratur dan memahami bahawa kerjaya sebagai atlet e-sukan memerlukan disiplin seperti sukan konvensional.
“Kita boleh bagi mereka main, tetapi dalam kawalan. Sama macam pemain bola sepak, mereka bukan bermain bola 24 jam, sebaliknya mempunyai waktu latihan khusus.
“Begitu juga e-sukan. Ada latihan, ada masa rehat dan ada penjagaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan lebih menyeluruh itu menjadi antara faktor peningkatan prestasi skuad e-sukan Pahang pada SUKMA XXII kali ini. -PAHANGMEDIA

