Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 16 OGIS 2026 : Kontinjen Pahang meraih pingat emas kedua pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 selepas atlet judo, Danish Mirza Nazrin, muncul juara dalam acara individu lelaki 90 kilogram (kg) di International Convention Centre Shah Alam (IDCC), di sini hari ini.
Lebih manis, kejayaan Danish Mirza itu turut melakar sejarah apabila menjadi pingat emas sulung buat pasukan judo Pahang dalam temasya SUKMA, sekali gus memecahkan rekod tanpa emas bagi sukan berkenaan sebelum ini.

Danish Mirza menewaskan wakil Pulau Pinang pada aksi final yang berlangsung pada 3.46 petang sekali gus membawa pulang emas pertama peribadinya di temasya berkenaan.
“Perasaan saya, alhamdulillah, saya sangat bangga dengan diri saya, dan saya sangat bersyukur sebab telah dapat pingat emas untuk Tamasya SUKMA Selangor 2026 ini.
“Penyertaan (SUKMA) kedua saya. Temasya sebelum ini saya tak pernah dapat apa-apa pingat,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.

Menurut Danish Mirza, kejayaan tersebut turut membawa makna besar kepada pasukan judo Pahang kerana ia merupakan emas pertama yang berjaya diraih dalam sejarah penyertaan mereka di SUKMA.
“Sebenarnya ini emas pertama untuk judo Pahang. Sebelum ini dekat SUKMA Sarawak, kita dapat silver dengan gangsa, melalui kategori 66 (kg) dan 73 (kg),” ujarnya.

Dalam saingan hari ini, Danish Mirza terlebih dahulu menewaskan wakil Johor pada peringkat separuh akhir bagi mengesahkan tiket ke final sebelum menundukkan wakil Pulau Pinang untuk dinobatkan sebagai juara.
Pingat kemenangan Danish disampaikan oleh Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar sekali gus memperlihatkan lagu Allah Rahmatkan Raja Kami berlegar di ruang dewan gelanggang judo IDCC.
Kejayaan berkenaan sekali gus menyemarakkan kempen Elephant Warriors dalam usaha Pahang memburu lebih banyak pingat pada SUKMA XXII Selangor 2026.-PAHANGMEDIA

