Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
MARAN, 14 OGOS 2026 : Penyerahan kunci rumah Program Residensi Rakyat (PRR) di Taman Sungai Kemap Indah simbol berakhirnya penantian dan bermulanya kehidupan yang lebih selesa bersama keluarga.
Pasangan penerima, Encik Mohd Rosli Abu Amir, 51, dan Puan Salmi Zakaria, 46, menyifatkan penyerahan kunci itu sebagai satu nikmat besar selepas bertahun-tahun menanti untuk memiliki kediaman sendiri.
“Rasa amat gembira dan terharulah sebab lama dah memohon. Ini rumah pertama, tanah pun tak ada, itu rasa seronok, alhamdulillah. Dengan keadaan macam ini, syukurlah.

“Akhirnya dapat juga (rumah sendiri). Terima kasih pada semua yang menolong. Memang rasa-rasa terujalah kita. Terharu,” kata pasangan ini.
Menurut Puan Salmi, keempat-empat anak mereka yang berusia 20 tahun sehingga 5 tahun juga sangat gembira apabila mengetahui mereka kini memiliki kediaman sendiri setelah menyewa hampir 20 tahun.
“Sebenarnya orang sekelling pun sangat happy. Family pun happy jugalah sebab sebelum ini kita tak ada rumah. So, alhamdulillah sekarang ada rumah sendiri. Terima kasih semua pihak yang banyak membantu,” katanya.
Encik Mohd Rosli yang merupakan pesara Alam Flora turut kehilangan kedua-dua belah kakinya akibat masalah saraf dan kencing manis pada awal tahun ini. -PAHANGMEDIA

