Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 OGOS 2026 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM300,000 menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara bagi membantu 300 mahasiswa anak Pahang melanjutkan pengajian ke luar negara.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan merupakan tanda sokongan dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap perjalanan pendidikan anak-anak Pahang.

“Pada tahun 2026 ini, sebanyak RM300,000 diperuntukkan melalui Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara dan seramai 300 mahasiswa anak Pahang menerima sumbangan ini pada kadar RM1,000 seorang.
“Tok Wan tahu, RM1,000 mungkin bukanlah jumlah yang dapat menampung keseluruhan kos pengajian. Tetapi Tok Wan harap anak-anak melihatnya dalam makna yang lebih besar. Ini bukan sekadar RM1,000, tetapi tanda bahawa Kerajaan Negeri mahu bersama-sama anak-anak dalam perjalanan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara Tahun 2026, Wang Pendahuluan Pelajar Pengajian ke Maghribi dan Program KYP-Yarmouk Jordan di Dewan Blok C, Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 118 anak Pahang menerima sumbangan IM Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara bagi membantu mereka meneruskan pengajian di New Zealand dan Mesir.
Menurut beliau, seramai 20 pelajar menerima tajaan Yayasan Pahang menerusi Program KYP-Yarmouk Jordan untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam) di Yarmouk University, Jordan, mulai Oktober ini.
“Pagi ini kita juga meraikan 20 pelajar Program KYP-Yarmouk Jordan yang akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam).
“Sejak tahun 2005, Yayasan Pahang telah memberi peluang kepada 487 anak Pahang untuk mengikuti program ini,” katanya.

Selain Jordan, seramai 15 anak Pahang turut menerima tajaan Yayasan Pahang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Pengajian Islam di Universiti Al-Qarawiyyin, Maghribi, selain menerima wang pendahuluan sebanyak USD1,000 seorang.
Beliau turut berpesan kepada anak-anak Pahang supaya belajar bersungguh-sungguh, membawa nama baik negeri dan pulang dengan kejayaan cemerlang selepas menamatkan pengajian.
“Saya mengambil kesempatan menasihatkan mereka supaya belajar rajin-rajin, bawa nama negeri Pahang dan pulang dengan kejayaan yang cemerlang.
“Walaupun jauh dari segi jarak, tetapi dekat di hati kita. Media sosial dan kemajuan teknologi maklumat mendekatkan kita walaupun jaraknya jauh,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad serta ketua-ketua jabatan. – PAHANGMEDIA

