Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 OGOS 2026 : Gerakan koperasi di Pahang terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan perolehan sebanyak RM1.13 bilion bagi tahun 2025.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata nilai ini menunjukkan peningkatan lebih 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau, jumlah anggota koperasi yang besar itu menunjukkan gerakan koperasi memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri dengan kira-kira seorang daripada setiap lima penduduk Pahang merupakan anggota koperasi.
“Saya mengucapkan tahniah kerana dari segi perolehan, kita mendapat RM1.13 bilion, iaitu melebihi 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Aset kita pula lebih kurang RM1.73 bilion. Manakala kita mempunyai 1,211 koperasi yang merangkumi lebih kurang 315,000 orang anggota. Ramai anggota koperasi kita.
“Dengan jumlah penduduk di Pahang seramai 1.63 juta orang, ini bermakna dalam setiap lima orang, ada seorang yang merupakan ahli koperasi di negeri Pahang,” katanya.

Beliau turut menyambut baik prestasi koperasi negeri yang disifatkan sangat memberangsangkan dan berharap agar momentum tersebut dapat diteruskan demi memperkukuh ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan anggota koperasi di negeri ini.
“Saya meminta supaya koperasi ini terus aktif dan berusaha ke arah yang lebih baik untuk meningkatkan ekonomi serta menjaga kebajikan anggota.
“Ini kerana fungsi koperasi dari dulu sampai sekarang, selain menjana ekonomi, adalah untuk menjaga kebajikan anggota-anggotanya.
“Alhamdulillah, di Pahang, saya dimaklumkan oleh Pengarah bahawa prestasi koperasi di negeri Pahang ini sangat merangsangkan. Jadi, teruskan usaha ini, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Pahang (MAGKP) 2026 di Hotel Grand Darul Makmur.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam. -PAHANGMEDIA

