Oleh: Syafiqah Jamaluddin
SELANGOR, 14 OGOS 2026 : Pasukan bola sepak wanita Pahang mencatat kemenangan bergaya 8-0 ke atas Melaka dalam aksi kedua saingan bola sepak wanita Kumpulan B Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, di sini semalam.
Kemenangan besar itu menyaksikan Pahang bangkit selepas sekadar mencatat keputusan seri pada aksi pertama menentang Perak, sekali gus mengumpul tiga mata penting untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan.
Ketua Jurulatih Bola Sepak Wanita Pahang, Mohd Zerry Nazeri, menyifatkan disiplin, semangat juang serta keberkesanan pemain dalam memanfaatkan setiap peluang sebagai kunci utama kemenangan tersebut.

Menurutnya, pemain menunjukkan komitmen tinggi sejak minit pertama dengan terus memberi tekanan kepada pihak lawan sehingga berjaya menghasilkan jumlah jaringan yang besar.
“Setiap permainan kita tidak boleh kehilangan mata. Kita kena beri 100 peratus dan setiap peluang yang ada perlu dimanfaatkan untuk menghasilkan gol.
“Disiplin yang ditunjukkan di dalam padang juga sangat penting. Setiap ruang dan peluang digunakan sepenuhnya sehingga kita berjaya menghasilkan banyak percubaan ke arah gol,” katanya.
Mengulas perlawanan ketiga menentang Pulau Pinang, Zerry berkata pihaknya sudah mengenal pasti kekuatan pasukan lawan dan akan melakukan penilaian semula bagi memperkemaskan beberapa kelemahan yang masih ada.
“Kita dah melihat beberapa pemain Pulau Pinang, mereka juga ada kekuatan tersendiri.
“Kita akan buat ‘homework’ semula dan cuba menyediakan persiapan terbaik, terutama dari segi kecergasan pemain untuk perlawanan ketiga nanti,” katanya.
Dalam pada itu, penyerang Pahang, Siti Balkis Mukhtar, muncul antara watak penting dalam kemenangan tersebut apabila meledak empat gol pada perlawanan berkenaan.
Siti Balkis menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil kerjasama seluruh pasukan, terutama rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu mencipta peluang untuknya menjaringkan gol.
“Saya gembira sebab dapat skor empat gol dan ramai kawan-kawan yang membantu saya untuk menjaringkan gol.
“Saya sudah buat yang terbaik dan hari ini saya dapat tunjukkan bahawa saya boleh menjaringkan gol,” katanya.
Siti Balkis turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perjuangannya dalam sukan bola sepak.
Kemenangan 8-0 itu sekali gus memberikan suntikan moral besar buat skuad wanita Pahang untuk meneruskan momentum dalam aksi seterusnya dan memburu keputusan positif bagi memastikan kemaraan pasukan dalam saingan SUKMA Selangor 2026.-PAHANGMEDIA

