Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
BENTONG, 12 OGOS 2026: Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM916,000 melalui Geran Usahawan Makmur dan Hasil Transformasi Produk Usahawan di bawah SIRIM Technopreneur Enterprise Program (STeP) 2026 bagi meningkatkan kualiti dan daya saing produk tempatan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, hasil tinjauan terhadap produk usahawan berkenaan menunjukkan perubahan dan penambahbaikan positif, termasuk peningkatan hasil jualan.

“Alhamdulillah mereka mendapat geran daripada kerajaan negeri kepada usahawan. Saya meninjau (reruai) tadi saya dapati ada penambahbaikan dan juga perubahan.
“Jualan mereka meningkat dan saya berharap mereka terus berusaha untuk memperbaikki produk mereka utamanya daripada segi pembungkusan supaya lebih menarik.

“Bagi saya dari segi masakkan dan rasa itu memang menarik, tetapo dari segi produk kita perlu tingkatkan lagi terutama dari segi pembungkusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Geran Usahawan Makmur dan Penyerahan Hasil Transformasi Produk Usahawan di bawah SIRIM Technopreneur Enterprise Program (STeP) Tahun 2026 di Dewan Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Dalam pada itu, beliau berharap agar penerima berkenaan dapat berdikari dan tidak sentiasa bergantung kepada kerajaan, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan baharu.

“Saya harap mereka(usahawan) tidak selama-lamanya bergantung kepada kerajaan. Sampai masanya mereka perlu berdikari kerana kerajaan boleh berusaha untuk melahirkan usahawan baru pula.
“Apabila mereka berdikari, kita boleh tumpu pada yang lain supaya lebih ramai lagi yang menjadi usahawan,” katanya. -PAHANGMEDIA

