Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
NEGERI SEMBILAN, 11 OGOS 2026: Penyediaan Belanjawan Negeri Pahang 2027 perlu berteraskan prinsip berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan, dengan memastikan setiap peruntukan yang disediakan memberikan nilai serta manfaat kepada rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perbincangan dalam Pemukiman Belanjawan Negeri Pahang 2027 bukan sekadar menentukan penambahan atau pengurangan peruntukan, sebaliknya turut menilai sejauh mana setiap peruntukan mampu menghasilkan keberhasilan kepada rakyat.

“Saya percaya perbincangan yang berlaku bukan sekadar untuk menambah atau mengurangkan peruntukan, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kita dapat memastikan setiap peruntukan yang disediakan benar-benar membawa nilai dan manfaat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemukiman Retreat Belanjawan Negeri Pahang 2027 di Hotel Royal Chulan, Negeri Sembilan, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri tidak boleh menyediakan belanjawan hanya kerana sesuatu program pernah dilaksanakan sebelum ini, sebaliknya setiap program perlu dinilai berdasarkan kerelevanan dan impaknya.
“Kalau sesuatu program masih relevan dan memberi impak, kita teruskan dan perkemaskan.
“Kalau keberhasilannya rendah, kita nilai semula. Kalau ada pendekatan yang lebih baik, kita jangan takut untuk berubah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu setiap jabatan dan agensi melihat peruntukan yang diterima bukan sebagai hak untuk dibelanjakan, tetapi sebagai amanah yang perlu diterjemahkan kepada keberhasilan.
“Saya mahu setiap jabatan dan agensi melihat peruntukan yang diterima bukan sebagai hak untuk dibelanjakan, tetapi sebagai amanah yang mesti diterjemahkan kepada keberhasilan,” katanya.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi negeri juga perlu terus diperkukuh menerusi pelaburan berkualiti dan pengembangan usahawan tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak Pahang.
“Kita mahu pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh. Kita mahu lebih banyak pelaburan berkualiti. Kita mahu usahawan tempatan berkembang. Kita mahu lebih ramai anak Pahang mendapat peluang daripada perkembangan ekonomi yang berlaku di negeri ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan hasil pemukiman perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan, dipantau secara berterusan dan ditunaikan demi kepentingan rakyat.
“Saya tidak mahu hasil pemukiman ini berakhir dengan sebuah dokumen sahaja.
“Apa yang kita bincangkan mesti dilaksanakan. Apa yang kita persetujui mesti dipantau. Dan apa yang kita janjikan kepada rakyat mesti kita tunaikan,” katanya. -PAHANGMEDIA

