Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
MARAN, 09 OGOS 2026 : Seramai 10 pasangan pengantin yang diraikan menerusi Program Anggun Suri 2026 di Parlimen Maran menyifatkan program berkenaan banyak memudahkan urusan persiapan perkahwinan, selain meringankan beban pasangan muda.
Menurut Encik Muhammad Azril Mohd Fahizan, 22, kemudahan yang disediakan melalui program tersebut mampu menjimatkan masa kerana pelbagai keperluan seperti pelamin, pakaian dan makanan telah disediakan oleh pihak penganjur.
Katanya, peserta hanya perlu memilih tema yang bersesuaian, manakala urusan persiapan lain akan dikendalikan oleh pihak penganjur.

“Bagi saya program ini dapat jimat masa sebab semua pihak penganjur uruskan daripada pelamin dan baju, kita hanya datang untuk pilih tema sahaja. Selepas itu, kita dapat lagi duit bantuan daripada Kerajaan.
“Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang sebab dah anjurkan program seperti ini. Dengan ekonomi sekarang ini nak melangsungkan majlis perkahwinan mungkin ambil masa yang lama, jadi bila Kerajaan Negeri Pahang buat program ini ia memudahkan semuanya,” katanya.
Bagi Puan Saidatul Nisa Zainol, 41, program berkenaan bukan sahaja membantu golongan muda menjimatkan kos perkahwinan, malah turut menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim sesama peserta.
“Program ini dapat mengeratkan silaturrahim dan kita pun boleh kenal dengan ramai kawan. Majlis diraikan pun meriah sangat. Bagi saya untuk anak muda bila sertai program ini selain mampu jimatkan kos.

“Program ini memang patut diteruskan sebab boleh tolong orang muda yang mana nak kahwin tapi duit tak cukup sebab dengan kos sekarang ni tinggi. Jadi, program ini patut diteruskan lagi,” katanya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, Kerajaan Negeri Pahang akan mengadakan program susulan untuk pasangan tersebut bagi pendedahan dan persediaan ke alam rumah tangga.
“InsyaAllah kita juga ada program susulan ini untuk pasangan pengantin iaitu program SmartStart anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang, kita bagi kursus untuk memasuki alam rumah tangga dan semuanya ditanggung oleh Kerajaan Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

