Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
BENTONG, 08 OGOS 2026 : “Program Anggun Suri ini patut diteruskan kerana ia memudahkan urusan perkahwinan kami,” kata Puan Siti Maryam Mohd Januri, 22, peserta Program Anggun Suri Tahun 2026 Parlimen Bentong.
Menurutnya, program sebegini banyak membantu pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, khususnya dalam mengurangkan beban kewangan serta memudahkan urusan perkahwinan.

“Program Anggun Suri ini banyak membantu saya dan pasangan dalam pelbagai perkara seperti penyediaan tempat, katering, pakaian pengantin dan lain-lain. Semuanya lengkap dan dapat menjimatkan kos kerana kami hanya perlu menyediakan mas kahwin sebanyak RM100 sahaja.
“Saya berasa sangat gembira dan bersyukur. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memudahkan urusan kami. Program ini wajar diteruskan pada masa akan datang kerana telah membantu ramai pasangan di Pahang yang ingin berkahwin,” katanya.

Sementara itu, Puan Siti Hajar Razak, 25, berkata proses permohonan melalui program berkenaan adalah mudah dan cepat, selain urusan melengkapkan dokumen turut dipermudahkan.
“Proses permohonan agak cepat bagi saya dan dokumen-dokumen yang diperlukan juga mudah untuk disediakan. Selain itu, konsep perkahwinan beramai-ramai ini sangat meriah dan memberi peluang untuk mengeratkan silaturahim kerana ramai tetamu hadir.
“Terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Pahang. Saya dan suami sangat gembira. Program ini benar-benar membantu meringankan beban kami serta menjimatkan kos. Jika boleh, biarlah program ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya. -PAHANGMEDIA

