Oleh: Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 07 OGOS 2026 : Peruntukan Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada Pahang meningkat kepada RM24.6 juta tahun ini berbanding RM23.2 juta pada tahun lalu.
Pemberian dana itu sekali gus membolehkan lebih banyak usaha Kerajaan Negeri dalam pemuliharaan biodiversiti, pengukuhan pengurusan kawasan perlindungan dan pembangunan hutan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan peruntukan itu amat dihargai dan berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan pemberian EFT yang lebih tinggi pada masa akan datang.

“(EFT) telah pun dipertingkatkan daripada setahun ke setahun, namun begitu saya harap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan dengan lebih banyak pemberian EFT ini.
“…kerana ini adalah pulangan yang diberi kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri akan gunakan yang diberi itu untuk program-program yang berkaitan dengan rakyat dan juga berkaitan dengan perhutanan,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2026 di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, di sini hari ini.
Hadir sama, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal; Pengarah Jabatab Perhutanan Negeri Pahang; YH. Dato’ Zainuddin Jamaluddin; Pengarah Kanan Bahagian Perancangan dan Ekonomi Hutan, Tuan Muhammad Abdullah serta ketua-ketua jabatan.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, kelestarian kawasan hutan simpan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Pahang dengan sebanyak 57.07 peratus daripada keluasan negeri kira-kira 3.6 juta hektar masih dikekalkan sebagai kawasan hutan simpan.
“Dan seperti biasa, kita di Pahang ini, kita mengutamakan kawasan hutan simpan kita yang mana kita masih mempertahankan 57.07 peratus hutan simpan daripada 3.6 juta keluasan di Negeri Pahang.
“Ini satu yang mandatori dan saya ingin mengambil kesempatan juga untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah mendengar rintihan luahan Kerajaan Negeri Pahang di mana bantuan EFT telah dipertingkatkan,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang berikita peningkatan hasil hutan Pahang pada 2025 sekali gus berharap agar prestasi itu dapat diteruskan tahun ini.
“Dan juga saya ucapkan tahniah kerana hasil hutan untuk tahun 2025 telah meningkat daripada sebelumnya dan saya harap tahun ini pun dapat kita tingkatkan.
“Tema Hari Perhutanan ini ialah “Hutan dan Ekonomi”. Maknanya hutan dan ekonomi adalah berkait, bercakup antara satu dengan lain,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

