Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20,000 bagi kerja pembersihan alur sungai dan pemeriksaan serta penyelenggaraan pintu air menghubungkan Sungai Kuantan ke Kampung Razali.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, peruntukan tersebut bagi mengenal pasti kemungkinan berlaku kebocoran yang menyebabkan air memasuki kawasan penempatan ketika air pasang.
“Tempat yang saya melawat ni ada juga ada flap gate, ada alur daripada Sungai Kuantan yang masuk ke kawasan kampung ni. Saya minta pihak JPS cuci dan check balik sama ada flap gate tu betul-betul rapat atau tidak.
“Saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan alur sungai ini. Kerja ni boleh segera. Besok pun boleh sebenarnya tapi ada proses peruntukan kewangan. Saya jangka selambat-lambatnya minggu depan kena buat,” katanya.

Menurut beliau, walaupun benteng tebatan banjir telah dibina di kawasan berkenaan, kejadian air pasang yang masih memasuki penempatan penduduk menunjukkan kemungkinan terdapat kelemahan pada sistem saliran sedia ada.
“Secara logiknya, sepatutnya tidak ada masalah sebab kerajaan dah bina ban bagi mengelakkan banjir di kawasan ini.
“Tapi bila mana bila air pasang, air still masuk maknanya ada something yang tak kenalah di pintu-pintu masuk air ni. So saya minta pihak JPS siasat balik,” katanya.
Beliau berharap tindakan segera itu dapat mengurangkan risiko limpahan air pasang sekali gus memberi keselesaan dan keselamatan kepada penduduk Kampung Razali.
Beliau berkata demikian ketika meninjau pintu air di Kampung Razali bersama bersama jurutera JPS Daerah, wakil Pejabat Daerah, pimpinan setempat serta ketua-ketua kampung pada Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undang Negeri (DUN) Inderapura semalam. -PAHANGMEDIA

