KUANTAN, 29 JULAI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan agar usaha memelihara dan memulihara alam sekitar terus diperkasakan melalui kerjasama strategik yang menyeluruh melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat serta komuniti setempat.
Paduka Baginda bertitah, agenda kelestarian alam bukan sekadar tanggungjawab sosial, sebaliknya merupakan amanah Allah SWT yang perlu dipikul oleh setiap manusia sebagai khalifah di muka bumi bagi memastikan keseimbangan alam ciptaan-Nya terus terpelihara.
Menurut Paduka Baginda, pelbagai bencana dan kerosakan alam yang berlaku pada masa kini berpunca daripada sikap manusia sendiri, termasuk pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab, pencerobohan kawasan hutan, aktiviti pembalakan tanpa kawalan serta pembakaran terbuka.
“Pelbagai kerosakan alam yang berlaku hari ini berpunca daripada perbuatan manusia seperti pembuangan sampah merata-rata, pencerobohan hutan, pembalakan tanpa kawalan serta pembakaran terbuka yang akhirnya menyumbang kepada perubahan iklim, pencemaran, banjir dan tanah runtuh.
“Setiap antara kita perlu memikul amanah untuk mengurus dan memelihara bumi dengan penuh tanggungjawab. Segala tindakan terhadap alam sekitar akan dipersoalkan di sisi Allah SWT,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Kali Ke-199 yang berlangsung di sini, semalam.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Haji Ahmad Hairi Bin Hussain.-PAHANGMEDIA
Sumber : Kesultanan Pahang

