Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MELAKA, 27 JULAI 2026 : Kerajaan akan meneliti cadangan untuk melonggarkan syarat permohonan geran bagi usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), khususnya bagi mereka yang baharu memulakan perniagaan.
Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK) yang juga YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu merupakan antara maklum balas yang diterima dalam Program Jelajah Turun Padang PMKS Zon Selatan, yang menjadi platform kerajaan untuk mendengar sendiri pandangan serta keperluan usahawan.
“Ada yang saya respons tadi berhubung syarat-syarat permohonan yang menetapkan bahawa pemohon telah berniaga dengan baik dan maju. Dalam keadaan itu, syaratnya lebih mudah dan permohonan lebih senang diluluskan kerana prestasi perniagaan telah terbukti.
“Namun, isu yang dibangkitkan adalah melibatkan usahawan yang baharu memulakan perniagaan. Mereka berdepan sedikit kekangan dari segi birokrasi dan sebagainya. Perkara ini akan kita perhalusi kerana mereka memohon supaya syarat dilonggarkan.
“Saya setuju, tetapi kita tidak boleh melonggarkan syarat secara berlebihan kerana ia melibatkan dana kerajaan yang tertakluk kepada peraturan dan kaedah tertentu.
“Bagaimanapun, kita boleh mempertimbangkan penambahbaikan terhadap syarat-syarat tersebut. Saya akan membawa perkara ini ke peringkat atasan dalam Majlis (MPUPK) untuk dikaji semula dan dipertimbangkan,” katanya.

Tambah beliau, permohonan tambahan geran yang dikemukakan oleh usahawan baharu dalam program tersebut adalah bersifat umum dan tidak melibatkan angka spesifik.
Beliau berkata, siri jelajah ini dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada usahawan di seluruh negara, selain memberi penerangan mengenai inisiatif kerajaan kepada komuniti PMKS.
“Hari ini merupakan siri kedua jelajah turun padang selepas sesi di Zon Utara di Sungai Petani. Kali ini kita berada di Zon Selatan, iaitu di Melaka. Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada usahawan kecil dan sederhana.
“Selain sesi ucapan, kita turut mengadakan dialog yang berjalan dengan baik dan penuh makna. Melalui dialog ini, kita dapat memberi penerangan secara terus kepada usahawan. Ada perkara yang dapat dijawab serta-merta, manakala selebihnya diberikan penjelasan lanjut.
“Selepas ini, insya-Allah kita akan meneruskan jelajah ke Zon Timur, iaitu di Kuantan, bagi bertemu usahawan PMKS di Pantai Timur untuk tujuan yang sama,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 1.1 juta usahawan PMKS di seluruh negara, sekali gus membuktikan sektor tersebut kekal sebagai antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata demikian pada Program Turun Padang Penasihat Khas MPUPK dan Dialog Bersama Usahawan Bumiputera Zon Selatan di Ayer Keroh. -PAHANGMEDIA

