Oleh : Syafiqah Jamaluddin
RAUB, 27 JULAI 2026 : MAHA Pahang 2026 melabuhkan tirainya dengan mencatatkan pencapaian luar biasa apabila merekodkan kehadiran seramai 212,374 pengunjung serta nilai jualan mencecah RM2.33 juta sepanjang empat hari penganjurannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, jumlah itu bukan sahaja melepasi sasaran awal 100,000 pengunjung dan RM1.3 juta nilai jualan, malah membuktikan sektor pertanian dan agromakanan terus mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, penyertaan usahawan juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila seramai 220 usahawan mengambil bahagian berbanding sasaran asal 100 usahawan.
“Alhamdulillah, MAHA Pahang 2026 berjaya disempurnakan dengan sambutan yang cukup membanggakan.
“Sepanjang empat hari penganjurannya, seramai 212,374 pengunjung hadir, jauh melepasi sasaran awal 100,000 orang. Nilai jualan pula mencecah RM2.33 juta berbanding sasaran RM1.3 juta, manakala penyertaan usahawan meningkat kepada 220 orang.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa sektor pertanian dan agromakanan terus mendapat sambutan serta mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai salah satu penggerak utama ekonomi negeri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, agensi, urus setia, peserta, usahawan serta semua pihak yang menjayakan penganjuran MAHA Pahang 2026.
Pada masa sama, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat dan pengunjung yang hadir memeriahkan acara berkenaan serta menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kerjasama semua pihak. -PAHANGMEDIA

